SUNGAI PETANI - Seorang ahli perniagaan dari Taman Tunku Haminah di sini merayu agar tidak terus diganggu pihak along selepas kediamannya menjadi sasaran simbahan cat merah dalam kejadian pada Sabtu.
Mangsa, Tan Lee Ling, 53, berkata, hanya menyedari kejadian itu kira-kira jam 7 pagi ketika mahu keluar bekerja.
Menurutnya, dinding dan dua buah kereta yang diparkir dalam rumah menjadi sasaran dilemparkan cat merah.
“Apa yang mengejutkan, mereka juga tidak takut sekiranya kami laporkan pada polis kerana menganggap 'rakan' mereka," dakwanya.
Dia yang mengusahakan perniagaan kilang besi berkata, anak sulung berusia 33 tahun dipercayai berhutang dengan along sejak sekian lama.
Katanya, sejak lebih 10 tahun lalu, dia sudah beberapa kali melangsaikan hutang anaknya yang mencecah antara RM10,000 setiap kali, dengan jumlah keseluruhan dianggarkan hingga RM400,000.
“Saya sudah tidak tahan dan menghalaunya keluar dari rumah beberapa tahun lalu. Selepas itu kami jarang berhubung.
“Saya tak mampu lagi bantu bayar hutangnya dan saya juga tidak tahu jumlah sebenar pinjaman dibuat,” katanya.
Menurutnya, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kelibat seorang lelaki memakai topi dan pelitup muka dikesan melakukan perbuatan itu.
Dakwanya, laporan polis telah dibuat sebelum ini namun kumpulan itu dikatakan mengetahui kandungan butir laporan.
Katanya, along sebelum ini turut mengganggu ahli keluarga dan rakan selain menampal poster di kilang serta menghantar video ugutan.
“Saya tak akan bayar lagi hutang anak saya. Along patut cari peminjam sebenar, bukan ganggu keluarga,” katanya.
Jelasnya, laporan polis berhubung kes terbaharu itu telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda kira-kira jam 10 pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.