'Kami sudah rancang mereka kahwin tahun depan' - Akberdin

Iklan
Akberdin (tengah) menabur bunga di pusara anaknya Allahyarham Adli Hakim Akberdin yang maut bersama dua lagi rakannya dalam kemalangan awal pagi tadi di Lebuhraya Karak menghala ke Kuala Lumpur selepas selesai pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam. Foto Bernama

SHAH ALAM - Bapa kepada seorang daripada mangsa kemalangan di Kilometer 34, Lebuhraya Karak menghala Kuala Lumpur awal pagi tadi menyatakan bahawa anaknya berhasrat mendirikan rumah tangga tahun depan sebelum maut dalam nahas membabitkan sebuah lori simen itu.

Datuk Akberdin Abdul Kader, 62, merupakan peguam terkemuka berkata, anaknya, Adli Hakim Akberdin, 24, penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu merancang untuk berkahwin dengan rakan baiknya, Athirah Najwa Mohd Tajul Ashikin, 27, yang turut cedera parah dalam kejadian itu.

Iklan
Iklan

"Saya amat mengenali gadis itu kerana dia adalah seorang daripada kawan baik anak saya sejak tiga atau empat tahun lepas.

"Dia juga sering datang berkunjung ke rumah kami sebelum ini," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 di sini pada Jumaat.

Iklan

Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay (empat dari kiri) mengaminkan doa ketika hadir memberi penghormatan terakhir kepada jenazah Allahyarham Adli Hakim Akberdin anak kepada peguam, Datuk Akberdin Abdul Kader (lima dari kiri) yang maut bersama dua lagi rakannya dalam kemalangan awal pagi tadi di Lebuhraya Karak menghala ke Kuala Lumpur selepas selesai pengkebumian di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21 Shah Alam. Foto Bernama

Dalam kejadian kira-kira jam 2.15 pagi itu, kereta Volkswagen Golf dinaiki Adli Hakim bersama tiga rakannya dipercayai terbabas sebelum terlibat dalam kemalangan yang turut mengorbankan dua lagi rakannya, Ameer Ashraf Khairul Annuar, 24, dan Afiq Jamal Abdul Nasir, manakala Athirah Najwa dilaporkan masih menerima rawatan di Hospital Selayang.

Iklan

 

 

Akberdin berkata, beliau mengetahui mengenai kejadian itu selepas anak sulungnya menerima panggilan daripada rakan mangsa yang berada dalam sebuah lagi kenderaan yang mengekori mereka dari belakang ketika perjalanan pulang dari Genting Highlands.

 

 

"Saya terus bergegas ke lokasi bersama anak sulung dan ketika tiba, pasukan bomba serta paramedik sedang menjalankan operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di dalam kenderaan,” katanya.

Beliau berkata, pasukan paramedik kemudian mengesahkan tiga lelaki terbabit meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala Athirah Najwa yang masih bernafas dibawa ke hospital dalam keadaan kritikal.

ARTIKEL BERKAITAN: Tiga pelajar IPT maut, seorang parah kereta rempuh lori simen

Tiga maut nahas di Karak: 'Saya dapat panggilan adik kemalangan' - Abang

Tiga maut nahas di Karak: Rakan sifatkan mangsa ibarat keluarga

'Adik disahkan meninggal dunia depan saya' - Abang mangsa nahas di Karak

Akberdin berkata, keluarganya akan terus mendoakan kesembuhan wanita itu yang dilaporkan sudah sedar daripada koma dan mula bertanyakan mengenai kejadian berkenaan.

Mengenai keperibadian Allahyarham anak kelimanya itu, Akberdin berkata, Adli Hakim seorang yang baik, patuh dan sangat disenangi ahli keluarga.

Beliau berkata, kali terakhir mereka meluangkan masa bersama adalah pada Ahad lepas ketika bercuti sekeluarga di Genting Highlands sebelum Allahyarham meminta izin untuk pulang semula ke kampusnya.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Adli Hakim selesai menjalani proses bedah siasat pada 3 petang dan dibawa ke Masjid Seksyen 7 di sini untuk dimandikan, dikafankan dan disolatkan oleh ratusan jemaah sebelum disemadikan pada 6.05 petang dengan dihadiri lebih 200 ahli keluarga serta kenalan rapat termasuk Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay.- Bernama