PENGENDALI Manchester United, Ole Gunnar Solskjaer berhasrat menggunakan situasi tidak menentu saingan bola sepak di Eropah susulan wabak koronavirus (Covid-19) sebagai jalan untuknya mendapatkan pemain baharu.
Menurutnya, dalam keadaan ekonomi tidak menentu ketika ini, beliau percaya sesetengah kelab akan melelong pemain dan ia akan memberikan kelebihan buat United mendapatkan pemain yang diingini.
"Bola sepak akan kembali seperti biasa nanti dan perlu pastikan kami bersedia untuk menghadapinya.
"Kami mahu jadi yang terbaik dan sudah tentu ini masa untuk kami mencari cara (perancangan dan pemain) dan melihat apa yang kami perlukan.
"Siapa tahu apa yang akan berlaku dalam pasaran perpindahan pemain nanti? Kelab mana yang akan jual pemain? Itu akan menjadi situasi yang kami boleh gunakan memandangkan kami mempunyai kewangan yang kukuh," katanya.
The Red Devil sebelum ini dikaitkan dengan beberapa pemain antaranya pemain tengah Borrusia Dortmund, Jadon Sancho; pemain sensasi Aston Villa, Jack Grealish dan pemain Birmingham City, Jude Bellingham.
Dalam masa sama, kata Solskjaer, dia dan pihak kelab sentiasa berbincang untuk menilai pemain yang boleh dibeli dalam jendela perpindahan akan datang.
"Kami meluangkan banyak masa untuk berbincangn mengenai perkara ini melalui mesej dan aplikasi WhatsApp. Apa yang boleh saya katakan adalah keadaan kelab sangat baik dan positif ketika ini," katanya.
United berada pada prestasi terbaik tidak kalah dalam 11 perlawanan terakhir Liga Perdana Inggeris (EPL) sebelum liga ditangguhkan 13 Mac lalu.