PELABUHAN KLANG - Sebanyak 46 tan bersamaan 46,000 kilogram (kg) abu al-Quran terbitan Karya Bestari dilupuskan di Pulau Angsa, di sini hasil kerjasama anak syarikat Karangkraf, Ultimate Print Sdn Bhd (UPSB) dengan Pasukan Polis Marin Port Klang.
Penasihat Bersama Karangkraf, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, inisiatif yang dimulakan sejak 2014 itu bertujuan memberi kesedaran dan membuka mata masyarakat tentang kaedah pelupusan dan pemurnian abu al-Quran dengan betul mengikut syariat Islam.
Menurut beliau, 46 tan abu al-Quran daripada naskah lusuh, rosak atau tidak boleh digunakan semula itu boleh dianggap terberat dan terbanyak dalam sejarah memandangkan sebelum ini syarikat pernah merekodkan pengumpulan sekitar 30 tan sahaja.
"UPSB antara syarikat pemula yang mengambil inisiatif melupuskan al-Quran mengikut syarak. Kami mulakan program ini pada 2014 sewaktu banjir besar melanda kawasan Pantai Timur.
"Kami lihat pada masa itu banyak al-Quran musnah dalam masjid dan rumah mangsa banjir. Jadi, kami buka ruang untuk penduduk hantar al-Quran rosak kepada kami untuk dikumpul serta dilupuskan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Sinar Harian di Majlis Pelancaran Program Pemurnian Abu al- Quran di Pengkalan Polis Marin Port Klang, di sini pada Khamis.
Program yang bermula seawal 7.30 pagi itu berakhir pada jam 2 petang dengan jarak dari Pulau Angsa ke pengkalan kira-kira 15 batu nautika menggunakan kapal angkut PT2 Polis Marin Port Klang.
Muhammad Nasir berpandangan, usaha sedemikian dilihat mendapat sambutan cukup menggalakkan apabila syarikat korporat lain turut menjalankan pendekatan serupa.
"Saya fikir usaha pelupusan mengikut syarak ini perlu dibuat berterusan selagi termampu kerana ia kalam ALLAH SWT dan wajib dipelihara serta diurus sebaiknya.
"Semoga masyarakat lebih cakna tentang betapa pentingnya menjaga kesucian al-Quran bukan sahaja dari segi pembacaan, tetapi juga pengurusan Insya-ALLAH.
"Saya mengucapkan terima kasih kepada Pasukan Polis Marin Port Klang atas sokongan yang diberikan kepada UPSB dan Karangkraf," ujar beliau.
Pegawai Pemerintah Pasukan Polis Marin Wilayah (1) Pelabuhan Klang, DSP R Sri Vikneswaran turut senada dengan pandangan Muhammad Nasir.
Katanya, usaha sebegini perlu diperkasakan lagi dalam konteks mendidik orang awam untuk tidak membuang kitab suci umat Islam itu sewenang-wenangnya.
Jelas beliau, ia juga membuka ruang buat pihaknya untuk menjalinkan hubungan strategik dengan syarikat korporat dalam mengadakan program berimpak tinggi dan berkualiti.
"Program ini saya lihat sangat baik dan mulia di sisi agama, sekali gus memberi nilai tambah buat kami apabila bekerjasama dengan Karangkraf, kolaborasi antara agensi kerajaan dan syarikat swasta.
"Tidak dinafikan banyak juga syarikat korporat lain yang melakukan kegiatan pelupusan. Namun tidak sebanyak Karangkraf kerana hari ini kami mengendalikan 46 tan, satu angka yang cukup besar," jelasnya.
Mengulas tentang sudut teknikal pelupusan al-Quran kepada bongkah abu, Penyelia Bahagian Pengurusan Sisa al-Quran UPSB, Hamid Sudin memaklumkan, pihaknya mengambil masa sekurang-kurangnya tiga hari untuk melengkapkan proses daripada pembakaran kepada pengeringan.
"Di UPSB, kami mempunyai insinerator untuk melupuskan al-Quran di mana selepas bakar, kami bancuh abu dengan air dan bentukkan di dalam besen untuk proses pengeringan.
"Apabila terbentuk bongkah abu al-Quran, kami masukkan ke dalam plastik lima kg per pek dan kemudiannya dimuatkan dalam guni bersaiz jumbo," ujar Hamid.