MELAKA - Peminat motosikal kustom berpeluang melihat secara dekat jentera unik milik Omar Jumiran yang pernah mencipta nama di peringkat antarabangsa menerusi program Bikers Day @ D’Sawah PL Square, Paya Luboh yang berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat.
Antara tarikan utama acara itu ialah pameran beberapa koleksi motosikal kustom milik Omar termasuk motosikal dikenali sebagai ‘Motor Batman’ atau Bone X yang merangkul gelaran naib juara dunia dalam pertandingan AMD World Championship of Custom Bike Building di Jerman.
Rekaan luar biasa dan sentuhan kreatif anak tempatan itu menjadikan motosikal berkenaan antara model yang mendapat perhatian peminat automotif dari dalam dan luar negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi berkata, acara itu dijangka menghimpunkan sehingga 3,000 motosikal berkuasa besar dari seluruh negara dengan sebanyak 114 kelab permotoran telah mengesahkan penyertaan.
Menurutnya, program itu juga mendapat sambutan luar biasa dengan jangkaan beberapa kelab motosikal antarabangsa dari Singapura, Thailand, Indonesia dan Brunei turut serta.
“Program berprestij ini merupakan hasil kerjasama strategik antara Koperasi Kampung Paya Luboh Melaka Berhad, Japerun DUN Pantai Kundor serta Kelab Daddy Bikers Malaysia (DBMC) dalam usaha memperkukuh pembangunan komuniti dan mempromosikan potensi pelancongan desa.
“Ia sekali gus memperkasakan ekonomi setempat apabila tempahan hotel dan inap desa meningkat, selain kedai makan serta perusahaan kecil tempatan turut menerima limpahan hasil sepanjang program berlangsung,” katanya pada sidang media di sini pada Rabu.
Katanya, program sama akan dijadikan acara tahunan sekiranya menerima sambutan menggalakkan daripada peserta.
Sementara itu, Pengerusi Koperasi Kampung Paya Luboh Melaka Berhad, Mohamad Shafik Safarizan berkata, pelbagai pengisian program telah disediakan yang bukan hanya tertumpu kepada peserta motosikal berkuasa tinggi, tetapi juga kepada komuniti setempat.
“Selain Auto Show Kelab Permotoran dan Konvoi Motor: Sunset ke Pentas Budaya Pantai Puteri, acara lain yang disediakan antaranya Paya Luboh Berselawat, Ziarah Kasih, cabutan bertuah wang tunai RM1,000 serta pertunjukan bunga api.
“Program ini bersifat mesra keluarga dan inklusif kerana kita mahu masyarakat setempat turut sama merasai manfaatnya.
“Kita harap Bikers Day @ D’Sawah PL Square dapat mengangkat Kampung Paya Luboh sebagai destinasi pelancongan desa dan agro yang lebih dikenali selepas ini,” katanya.