Pengguna pengangkutan udara pantau jadual penerbangan sempena cuti sekolah

Iklan
CAAM menggalakkan pengguna untuk mencari penyelesaian secara terus terlebih dahulu dengan syarikat itu atau pengendali lapangan terbang masing-masing.

SHAH ALAM - Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) menasihatkan pengguna pengangkutan udara agar sentiasa memantau maklumat terkini jadual penerbangan masing-masing sepanjang musim cuti sekolah akan datang yang dijadualkan bermula dari 23 Mei 7 Jun ini.

CAAM berkata, selain cuti persekolahan, perkara tersebut perlu diambil maklum susulan perkembangan global semasa yang menjejaskan operasi syarikat dan jadual penerbangan di beberapa wilayah ketika ini.

Iklan
Iklan

Ujarnya, dengan jangkaan trafik penumpang yang lebih tinggi di lapangan seluruh negara, pengguna digalakkan untuk mengambil beberapa langkah awal termasuk tiba di lapangan terbang lebih awal bagi mengelakkan pelarasan operasi dan kesesakan.

“Pengguna diminta memeriksa status penerbangan terkini secara berkala dengan syarikat penerbangan atau pengendali lapangan terbang.

Iklan

“Pastikan butiran hubungan yang diberikan semasa tempahan adalah terkini dan boleh dihubungi, juga menyimpan semua dokumen perjalanan dan tempahan untuk tujuan rujukan,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, CAAM menerangkan mengenai hak pelanggan yang disediakan di bawah Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) sekiranya berlaku kelewatan, pembatalan, penafian menaiki pesawat, pertukaran jadual atau isu berkaitan bagasi.

Iklan

Menurutnya, pengguna boleh memilih sama ada untuk meneruskan perjalanan mereka dengan bantuan daripada syarikat penerbangan, termasuk penginapan dan pengangkutan jika diperlukan.

“Bagi pembatalan penerbangan, penafian menaiki pesawat, pertukaran jadual selama tiga jam ke atas dan penghentian laluan, pengguna mungkin berhak untuk memilih penukaran laluan atau pemulangan wang penuh.

“Bagi pembatalan sukarela, pengguna berhak mendapatkan pemulangan wang bagi Caj Perkhidmatan Penumpang (PSC), cukai, fi, surcaj bahan api dan caj kawal selia, tertakluk kepada terma dan syarat tiket berkenaan,” jelasnya.

Sehubungan itu, CAAM menggalakkan pengguna untuk mencari penyelesaian secara terus terlebih dahulu dengan syarikat itu atau pengendali lapangan terbang masing-masing.

Bagaimanapun, CAAM menjelaskan, sekiranya isu tersebut masih gagal diselesaikan, aduan boleh dikemukakan menerusi platform FlySmart CAAM untuk bantuan lanjut.

Katanya, bagi kes melibatkan bagasi yang lewat, rosak atau hilang, pengguna perlu segera membuat laporan dengan mengisi Laporan Ketidakaturan Harta (PIR) di lapangan terbang dan menyimpan semua dokumen bagi persiapan tuntutan dan pengesahan.

“Pengguna boleh dapatkan maklumat terkini dan sahih hanya melalui saluran rasmi yang dikeluarkan oleh syarikat penerbangan, pengendali lapangan terbang dan pihak berkuasa yang berkaitan.

“Serta membiasakan diri dengan hak pengguna dan prosedur aduan melalui platform FlySmart di www.flysmart.my,” ujarnya.