Janji temu klinik tertera tulisan Cina, berlaku kesilapan pemberian kad - Jabatan Kesihatan

Iklan
Laporan Sinar Harian mengenai kejadian sebelum ini.

SHAH ALAM – Berlaku kesilapan tidak disengajakan dalam pemberian kad berlainan bahasa kepada penjaga pesakit berhubung isu tular penggunaan tulisan Cina pada kad janji temu di Klinik Kesihatan Setapak, Kuala Lumpur.

Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) dalam kenyataan menjelaskan, siasatan yang dijalankan mendapati insiden tersebut berlaku pada 18 Mei lalu, melibatkan seorang pesakit kanak-kanak yang hadir mendapatkan rawatan bagi kes disyaki demam denggi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pihaknya mengambil serius aduan yang tular di media sosial berhubung penggunaan Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi berbahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak.

"JKWPKL&P ingin menegaskan bahawa penggunaan rekod pemantauan pesakit secara rasmi adalah dalam Bahasa Melayu.

Iklan

"Bagi membantu komunikasi dan pemantauan pesakit di kawasan berkepadatan tinggi dengan kes denggi, pihak klinik turut menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa sebagai inisiatif sokongan komunikasi kepada pesakit dan penjaga mengikut kesesuaian bahasa," katanya pada Selasa.

Menurut kenyataan itu, dalam kes berkenaan telah berlaku kesilapan pemberian kad berlainan bahasa kepada penjaga pesakit yang tidak disengajakan.

Iklan

Ujarnya, bagaimanapun, penerangan berkaitan rawatan dan pemantauan telah diberikan oleh pegawai perubatan kepada pesakit dalam Bahasa Melayu, termasuk catatan bertulis pada kad tersebut.

"Sehubungan itu, pihak JKWPKL&P telah mengambil langkah penambahbaikan sertamerta bagi memastikan pemberian kad pemantauan dibuat dengan lebih teliti dan bersesuaian di samping mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan penyampaian perkhidmatan kesihatan kerajaan.

"Kami ingin memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku dan kekal komited untuk terus memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat dan mesra rakyat," katanya.

Terdahulu, perkongsian mengenai perkara tersebut meraih perhatian ramai selepas diulang siar di platform Threads kerana kad janji temu pesakit yang kebiasaannya menggunakan bahasa Melayu atau Inggeris, dicetak dalam bahasa Mandarin.

Video berdurasi 1 minit 27 saat itu pada awalnya dimuat naik ke platform TikTok oleh pemilik akaun @shah.faza yang turut mendakwa perkara tersebut dipolitikkan sedangkan kesihatan adalah isu rakyat.