Rundingan kerajaan dan pembangkang berhasil, kurangkan pemusatan kuasa PM- Syed Saddiq

Iklan
Syed Saddiq. Foto: FB Syed Saddiq

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan sesi rundingan melibatkan wakil kerajaan dan pembangkang 'membuahkan hasil' berkaitan pindaan perlembagaan mengurangkan pemusatan kuasa di tangan Perdana Menteri.

Menurut beliau, rundingan tersebut diadakan walaupun Parlimen belum bersidang, dengan kedua-dua pihak mengetepikan perbezaan politik dalam memastikan sistem pentadbiran negara menjadi lebih adil dan telus.

Iklan
Iklan

"Parlimen belum bersidang, tapi kami tetap datang. Kerajaan dan pembangkang meletakkan ego ke tepi demi reformasi institusi.

"Demi meminda perlembagaan untuk mengurangkan pemusatan kuasa di tangan Perdana Menteri, sekali gus mengurangkan kemungkinan pendakwaan politik berlaku (atau pengguguran kes politik)," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Selasa.

Iklan

Beliau bagaimanapun tidak memperincikan bentuk pindaan yang akan dibentangkan pada persidangan akan datang.

Syed Saddiq menyifatkan langkah tersebut sebagai usaha membuka lembaran baharu buat rakyat membuat penilaian terhadap prestasi wakil rakyat.

Iklan

"Semoga ada masa depan yang baharu dan lebih adil untuk semua rakyat Malaysia yang mana kami dinilai berdasarkan merit dan karakter, bukannya hubungan dengan mereka yang berkuasa.

"Nantikan pembentangan di Parlimen nanti," katanya lagi.

Menerusi hantaran itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said serta pegawai pejabat Peguam Negara yang membantu menjayakan misi berkenaan.