NAFAS Bajakimia Sdn Bhd (NBKSB) menerbitkan Buku Panduan Pembajaan Tanaman Komoditi dengan Baja Peladang sebagai usaha memperkukuh peranannya dalam pembangunan sektor pertanian negara serta pemindahan ilmu kepada komuniti peladang.
Ketua Pegawai Eksekutif NBKSB, Zalifudin Md Arshad berkata, NAFAS Bajakimia bukan sekadar pembekal input pertanian, sebaliknya turut komited sebagai rakan pembangunan ilmu kepada komuniti peladang.
Menurutnya, buku berkenaan dihasilkan sebagai panduan praktikal untuk membantu meningkatkan kefahaman terhadap amalan pembajaan yang lebih efektif dan memberi impak kepada hasil tanaman.
“Buku tersebut dibangunkan menerusi kerjasama strategik bersama Fakulti Perladangan dan Agroteknologi, Universiti Teknologi Mara Cawangan Melaka Kampus Jasin sebagai rakan akademik dan teknikal dalam pembangunan kandungan.
“Kerjasama itu mencerminkan komitmen antara industri dan institusi akademik dalam memperkukuh usaha pemindahan ilmu kepada sektor pertanian negara,” katanya.
Buku panduan itu dilancarkan sempena Festival Agro Madani Peladang @ NAFAS Mall di Muar, Johor pada Jumaat.
Majlis pelancaran disempurnakan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Chan Foong Hin.
Turut hadir, Pengurus Besar Pertubuhan Peladang Kebangsaan, Muhammad Faris Arriffin, wakil pengurusan kanan NAFAS, rakan strategik, pengedar dan komuniti peladang.
Zalifudin berkata, festival tersebut turut menjadi platform strategik kepada NBKSB untuk mendekatkan jenama Baja Peladang kepada masyarakat melalui pendekatan lebih inklusif dan mesra komuniti.
Menurut beliau, NBKSB turut memperkenalkan rangkaian Baja Peladang termasuk produk yang dilengkapi teknologi NUE (Nutrient Uptake Enhancer).
Katanya, teknologi tersebut membantu meningkatkan kecekapan penyerapan nutrien oleh tanaman sekali gus menyokong amalan pembajaan yang lebih optimum dan efektif.
“Sebagai sebahagian daripada semangat Festival Agro Madani, NBKSB turut menawarkan promosi khas kepada pengunjung termasuk jualan istimewa buku panduan dan tawaran produk terpilih di bawah jenama Peladang.
“NBKSB turut merakamkan penghargaan kepada NAFAS khususnya Kumpulan Pemasaran NAFAS atas peluang diberikan untuk bersama menjayakan festival tersebut,” jelasnya,
Tambahnya, penghargaan sama turut diberikan kepada rakan strategik, rakan industri, pengedar serta semua pihak yang memberikan sokongan berterusan kepada NBKSB.
Festival Agro Madani Peladang @ NAFAS Mall berlangsung pada 16 hingga 17 Mei 2026 dengan pelbagai aktiviti promosi, jualan khas, perkongsian ilmu dan aktiviti interaktif bersama komuniti.