COIMBATORE – Seorang remaja lelaki berumur 13 tahun maut dipercayai dipukul sebelum mayatnya ditanam oleh dua rakan dalam kejadian di daerah Coimbatore, Tamil Nadu, India.
Menurut polis, mangsa yang dilaporkan berhenti sekolah sebelum ini keluar memancing bersama dua rakan berhampiran sebuah terusan di kawasan Irugur pada Sabtu.
Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mereka dipercayai mengambil minuman beralkohol sebelum tercetus pertengkaran.
Pergaduhan itu bermula selepas mangsa didakwa menyerang salah seorang rakannya menggunakan botol minuman keras.
Keadaan kemudian bertukar ganas apabila kedua-dua suspek dipercayai membalas serangan sehingga menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.
Polis memaklumkan, dua remaja terbabit dipercayai bertindak menanam mayat mangsa kerana takut perbuatan itu terbongkar sebelum pulang ke rumah masing-masing.
Kehilangan mangsa disedari keluarganya yang kemudian membuat laporan polis.
Hasil siasatan lanjut, polis menyoal siasat dua remaja terbabit sebelum mereka mengaku melakukan perbuatan itu pada malam Ahad.
Mayat mangsa kemudian digali semula dan dihantar untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga untuk urusan pengebumian.
Seorang pegawai polis berkata, kedua-dua suspek akan ditempatkan di Rumah Pemerhatian memandangkan mereka masih bawah umur.
“Kami akan menghantar mereka ke Rumah Pemerhatian kerana mereka masih bawah umur. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.
Insiden itu turut mencetuskan kebimbangan masyarakat berhubung gejala sosial dan pengambilan alkohol dalam kalangan remaja.