Yuyu hanya bebas dengan jaminan mahkamah, kes masih berjalan

Iklan
Mohd Yusoff (kiri) menyampaikan surat penghargaan kepada pegawai pada Perhimpunan Bulanan IPK Kelantan pada Isnin.

KOTA BHARU - Pengusaha salun dan kedai makan yang dikenali sebagai ‘Yuyu’ hanya dibebaskan dengan ikat jamin mahkamah sebanyak RM10,000 minggu lalu berhubung kes dadah, dan bukan dibebaskan sepenuhnya.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, wanita terbabit sebelum ini dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, namun pertuduhan telah dipinda kepada Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya.

Iklan
Iklan

"Dia bukan dibebaskan sepenuhnya. Sebelum ini dia dituduh mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 sebelum pertuduhan dipinda kepada Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya.

"Perubahan pertuduhan daripada Seksyen 39B kepada Seksyen 39A(1) dibuat berdasarkan hasil laporan kimia serta perbezaan lokasi tangkapan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Perhimpunan Bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini pada Isnin.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] 'Yuyu', suami dan tiga ahli keluarga didakwa edar pil kuda, berdepan hukuman mati

Mohd Yusoff berkata, selain Yuyu, seorang lagi suspek didakwa mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Iklan

Katanya, dua lagi suspek termasuk suaminya masih kekal berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 39B akta sama.

Sinar Harian 10 Julai tahun lalu melaporkan, seorang pengusaha salun dan kedai makan bersama suami serta tiga lagi ahli keluarga didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas tiga pertuduhan mengedar lebih 20 kilogram (kg) dadah jenis pil kuda di tiga lokasi berasingan pada 27 Jun 2025.

Semasa perbicaraan tiada pengakuan direkodkan oleh kesemua tertuduh iaitu Nur Ayu Fatihah Zaudi, 34, Mohd Faizal Ismail, 35, Mohamad Farid Ismail, 33, Mohd Khairu Azani Mohd Lawi, 39, dan Mohamad Asmawi Janudin, 25, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.

Mohd Faizal merupakan abang kepada Mohamad Farid dan mereka berdua adalah bapa saudara kepada Mohamad Asmawi.

Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes tersebut di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.