17 individu dihukum kerana buang sampah merata-rata

Iklan
Seramai 17 individu dijatuhkan hukuman berkaitan kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di Melaka. Foto hiasan

MELAKA - Seramai 17 individu dijatuhkan hukuman manakala 39 lagi kes masih dalam proses mahkamah berkaitan kesalahan di bawah Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) di Melaka.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, manakala setakat ini sebanyak 589 notis pemberitahuan kesalahan (NPK) telah dikeluarkan sejak penguatkuasaan dijalankan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Iklan
Iklan

Beliau berkata, tindakan tegas itu penting bagi memastikan tahap kebersihan di negeri pelancongan seperti Melaka sentiasa terpelihara selain meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan menjaga alam sekitar.

"Ini melibatkan kes membuang sampah merata-rata dan yang paling banyak dikesan adalah puntung rokok. Jadi kepada perokok tegar, anda perlu tahu tempat yang dibenarkan untuk menghisap dan membuang puntung rokok tersebut.

Iklan

"Kita tidak mahu rakyat mahupun pelancong yang datang ke Melaka dikenakan tindakan undang-undang akibat kesalahan kebersihan yang boleh dielakkan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program"Anda Kitar, Kami Bayar” bersempena dengan ulang tahun ke-23 Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Dataran MBMB, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Rais berkata, amalan pengasingan sisa dalam kalangan masyarakat khususnya di Melaka masih belum memuaskan sehingga menyebabkan banyak bahan yang masih boleh dikitar semula berakhir di tapak pelupusan sampah.

Iklan

Beliau berkata, sikap tidak mengasingkan sampah mengikut kategori bermula dari rumah lagi bukan sahaja menyukarkan proses kitar semula, malah menyebabkan pelbagai bahan yang masih mempunyai nilai komersial terus dibuang begitu sahaja.

"Kalau kita tengok sampah-sampah ini perlu diasingkan dari rumah lagi kerana jika pengasingan bermula di rumah, sudah tentu ia akan lebih memudahkan pelbagai pihak. Kalau tidak diasingkan, pihak seperti SWM yang mengumpul dan mengurus semua sampah tersebut akan terus membuangnya ke tempat pelupusan. Jadi ia satu pembaziran,” katanya.

Rais berkata, kesedaran masyarakat terhadap pengasingan sisa perlu dipertingkatkan dengan lebih proaktif kerana bahan buangan tertentu boleh diproses semula menjadi produk bernilai tinggi jika diuruskan dengan betul.

Katanya, perkara itu dapat dilihat menerusi hasil kerjasama Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) bersama rakan strategik industri yang membuktikan bahan buangan seperti botol plastik dan kaca mampu dikomersialkan semula.

"Mereka bekerjasama untuk kitar semula bahan daripada botol plastik dan botol kaca yang akhirnya boleh membentuk barangan dan seterusnya dikomersialkan seperti jubin lantai,” katanya.

Mengulas mengenai program"Anda Kitar, Kami Bayar” beliau berkata, aktiviti yang dianjurkan saban tahun itu terus mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai terutama pengumpulan minyak masak terpakai.

"Lebih menarik pada tahun ini apabila harga belian minyak masak terpakai meningkat kepada RM3.20 sekilogram berbanding RM3 sekilogram tahun lepas.

"Penyertaan masyarakat dalam program seumpama ini bukan sahaja membantu kerajaan mengurangkan kos pengurusan sisa pepejal, malah memberi pulangan kewangan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, setakat 10 pagi tadi, program berkenaan berjaya mengumpulkan kira-kira 2.5 tan minyak masak terpakai bernilai RM8,000 selain 453 kilogram e-waste, 420 kilogram fabrik, 110 kilogram botol kaca dan tetrapak, 16 kilogram sisa makanan serta 12 kilogram bahan pemulihan al-Quran.

Katanya, keseluruhan jumlah bahan yang dikumpulkan setakat tempoh tersebut dianggarkan bernilai RM4,656 dengan pencapaian pengurangan karbon dioksida bersamaan 1.1 juta kilogram atau lebih 50,000 batang pokok berjaya diselamatkan. - Bernama