JEPUN - Seorang wanita berusia 54 tahun ditahan selepas dipercayai menceroboh masuk ke rumah seorang lelaki yang tidak dikenalinya sebelum menampar mangsa dalam kejadian di Bandar Kagoshima pada awal pagi, lapor TBS news.
Menurut Balai Polis Pusat Kagoshima, wanita yang mengaku bekerja di sebuah syarikat itu ditahan di lokasi kejadian atas dakwaan melakukan serangan terhadap lelaki berusia lingkungan 20-an berkenaan.
Kejadian dilaporkan berlaku kira-kira jam 6 pagi pada 6 Mei lalu apabila wanita itu didakwa menampar muka mangsa di rumah lelaki tersebut.
Insiden terbabit diketahui selepas mangsa menghubungi talian kecemasan 110 di Jepun dengan memaklumkan terdapat seorang wanita yang tidak dikenalinya berada di dalam rumahnya.
Polis memaklumkan kedua-dua individu itu tidak saling mengenali dan mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.
Menurut polis, wanita terbabit mengaku melakukan perbuatan tersebut dengan menyatakan 'tiada kesilapan' dalam pengakuannya.
Siasatan lanjut kini dijalankan bagi mengenal pasti bagaimana wanita itu boleh berada di kediaman mangsa.