Kantin sekolah ada najis tikus diarah tutup 14 hari

Iklan
Mohammad Dziauddin

GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Sebuah kantin di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini diarahkan menghentikan operasi selama 14 hari selepas pemeriksaan pihak kesihatan menemukan najis tikus di kawasan premis berkenaan.

Pengarah Pendidikan Pulau Pinang, Mohammad Dziauddin Mat Saad berkata, arahan penutupan itu berkuat kuasa mulai jam 12 tengah hari Khamis hingga 27 Mei depan.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, tindakan berkenaan diambil selepas pemantauan mendapati terdapat najis tikus di lantai belakang sebuah peti sejuk yang tidak lagi digunakan di kantin tersebut.

“Susulan penemuan itu, perintah penutupan premis makanan tak suci dikeluarkan mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Iklan

Beliau bagaimanapun memaklumkan tiada sebarang kes keracunan makanan melibatkan murid atau guru dilaporkan setakat ini.

Dalam pada itu katanya, pihak sekolah telah mengambil langkah segera dengan menyediakan bekalan makanan kepada murid menerusi pembekal luar sepanjang tempoh kantin berkenaan ditutup.

Iklan

"Pihak sekolah mengambil tindakan segera dengan melantik kontraktor sementara bagi menyediakan makanan kepada murid sepanjang kantin sekolah diarahkan tutup.

"Selain itu, kerja-kerja pembersihan dan sanitasi di kawasan kantin turut giat dijalankan mengikut arahan Pejabat Kesihatan Daerah dan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi memastikan tahap kebersihan premis berada dalam keadaan selamat sebelum operasi dibenarkan semula," katanya.