PARIS St Germain (PSG) merangkul kejuaraan Ligue 1 buat kali kelima berturut-turut selepas menewaskan pencabar terdekat Lens 2-0 di Stade Bollaert-Delelis, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
PSG hanya memerlukan satu mata ketika menentang pasukan di tangga kedua itu untuk mengesahkan kejuaraan domestik ke-12 mereka dalam tempoh 14 tahun. Pasukan itu mendahului menerusi jaringan Khvicha Kvaratskhelia pada separuh masa pertama sebelum Ibrahim Mbaye menambah gol kedua pada masa kecederaan.
Lens mengatasi jangkaan apabila memberi saingan sengit kepada kelab dari Paris itu sepanjang musim dan masih berpeluang menamatkan kempen dengan cemerlang apabila menentang Nice dalam final Coupe de France hujung bulan ini.
Pasukan kendalian Luis Enrique itu, yang kini mendahului Lens dengan kelebihan enam mata dengan baki satu perlawanan, akan menentang Paris FC dalam aksi liga terakhir pada Ahad sebelum berdepan Arsenal pada final Liga Juara-Juara hujung bulan ini.
PSG membuka jaringan pada minit ke-29 menerusi penyerang Georgia Kvaratskhelia yang menjaringkan gol ke-23 musim ini untuk kelab dan negara, selepas menerima hantaran Ousmane Dembele.
Lens berpeluang menyamakan kedudukan menerusi rembatan kencang Abdallah Sima namun percubaannya berjaya diselamatkan, selain tandukan yang sedikit tersasar.
Dembele hampir menambah gol kedua PSG sebelum rehat, namun percubaan rendahnya berjaya ditepis penjaga gol Lens Robin Risser.
Matvey Safonov sekali lagi beraksi cemerlang di gawang PSG, menggagalkan percubaan Sima pada awal babak kedua sebelum bertindak pantas menepis tandukan Matthieu Udol ketika tuan rumah memburu gol penyamaan.
Pasukan tuan rumah semakin hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-74 apabila rembatan Sima terkena tiang gol, sebelum Mamadou Sangare memaksa Safonov melakukan satu lagi penyelamatan ketika PSG mempertahankan kelebihan tipis mereka.
Pasukan pelawat kemudian memastikan kemenangan pada masa kecederaan apabila Mbaye menyempurnakan hantaran silang Desire Doue dari dalam kawasan penalti. - Bernama