IPOH – Pihak berkuasa agama di peringkat negeri dan persekutuan wajar menyediakan garis panduan khusus bagi mengelakkan pemimpin politik, khususnya yang menggunakan platform agama, daripada mengeluarkan kenyataan keterlaluan sehingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
Naib Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (Amanah) Perak, Shafiq Ariffin berkata, langkah itu penting bagi memastikan setiap kenyataan berkaitan agama dibuat berdasarkan rujukan sahih serta mendapat kelulusan pihak berautoriti.
Menurutnya, pihak seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan jabatan agama Islam negeri perlu mengambil inisiatif lebih proaktif dalam mengawal penyebaran bahan atau rujukan agama yang digunakan oleh tokoh politik.
"Jika garis panduan ini dapat dikuatkuasakan, ia akan menjadi satu kawalan kepada mana-mana pihak, terutama yang melibatkan hal ehwal agama.
"Rujukan atau bahan-bahan yang hendak digunakan perlu mendapat kelulusan supaya perkara seperti ini tidak berulang,” katanya kepada Sinar Harian.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Pasir Puteh, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh yang didakwa mengeluarkan kenyataan berhubung kisah sahabat Rasulullah SAW yang disifatkan mengelirukan dan melampau di Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada Rabu.
Terdahulu, Shafiq memaklumkan beliau telah membuat laporan polis terhadap Setiausaha Dewan Ulama Pas Pusat itu di bawah Seksyen 298A Kanun Keseksaan dan Akta Hasutan 1948 bagi mendesak siasatan dijalankan.
Menurutnya, walaupun permohonan maaf telah dibuat oleh pihak terlibat, tindakan undang-undang masih perlu diteruskan bagi memberi pengajaran kepada semua pihak.
“Kita tidak mahu budaya membuat kenyataan salah, kemudian memohon maaf menjadi satu kebiasaan.
“Yang kita bimbang ialah kenyataan awal lebih cepat tersebar dan mempengaruhi masyarakat, sedangkan kenyataan permohonan maaf tidak semestinya sampai kepada semua,” katanya.
Tambah beliau, siasatan yang telus perlu dilakukan tanpa mengira latar belakang politik mana-mana individu agar isu agama tidak dipermainkan demi kepentingan tertentu.
Kontroversi sebelum ini tercetus selepas tular satu video di media sosial memaparkan sedutan ucapan pemimpin Pas itu dalam satu ceramah yang dianggap menghina sahabat Rasulullah SAW iaitu Abu Bakar as-Siddiq, Umar al-Khattab, Uthman Affan dan Ali Abi Talib.
Difahamkan, kenyataan itu disampaikan dalam satu program ceramah politik di Kuala Terengganu, Terengganu pada hujung minggu lalu.
Susulan itu, Dewan Ulama Pas Pusat menegur Nik Muhammad Zawawi dan mengakui terdapat beberapa kesilapan fakta dalam ceramah berkenaan.
Bagaimanapun, Nik Muhammad Zawawi tampil memohon maaf susulan kontroversi membabitkan pengucapannya yang tular.
Beliau turut mengakui kurang cermat dalam mengolah maklumat serta penyampaian ketika memberikan kenyataan berkenaan.