Projek Seksyen 2 EKVE dijangka siap hujung tahun

Iklan
Mohd Kamri (dua kiri) ketika meninjau keadaan tapak projek berkenaan bersama pihak kontraktor dan agensi terlibat pada Isnin.

AMPANG – Projek Seksyen 2 Lebuhraya Lembah Klang Timur (EKVE) yang tertangguh hampir sedekad dijangka dapat disiapkan hujung tahun ini demi keselesaan serta keselamatan penduduk sekitar.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Antarabangsa, Mohd Kamri Kamarudin bagaimanapun berkata, beliau bimbang projek berkenaan sekali lagi mengalami kelewatan selepas mendapati kerja di tapak didakwa terhenti sejak minggu lalu.

Iklan
Iklan

“Projek yang bermula sejak 2015 ini sepatutnya siap pada 2019, namun berlaku kelewatan termasuk ketika pandemik Covid-19 dan masalah lain.

“Ketika perasmian Seksyen 1 tahun lalu, saya dimaklumkan Seksyen 2 sepatutnya siap pada Mac tahun ini, kemudian sasaran baharu ditetapkan pada hujung tahun,” katanya kepada pemberita ketika lawatan di tapak projek pada Isnin.

Iklan

Keadaan projek berkenaan ketika ini di lokasi ketika lawatan ke tapak pada Isnin.

Beliau berkata, kebimbangan utama penduduk ketika ini ialah faktor keselamatan susulan keadaan cerun yang masih belum siap sepenuhnya terutama ketika musim hujan.

Iklan

Ujarnya, beberapa kejadian banjir lumpur sebelum ini turut didakwa berpunca daripada projek berkenaan sehingga menjejaskan penduduk di kawasan berhampiran termasuk di Ukay Perdana.

“Kira-kira 35,000 penduduk di kawasan Bukit Antarabangsa dan Ukay Perdana dijangka menerima manfaat apabila lebuh raya itu siap sepenuhnya nanti.

“Hampir 300 rumah berhampiran kawasan projek merupakan antara yang paling terkesan sepanjang tempoh pembinaan dijalankan.

Mohd Kamri (kanan) ketika meninjau keadaan projek ketika lawatan tapak pada Isnin.

“Macam mana pun, saya berharap kepada pihak kerajaan ataupun mana-mana agensi, bantulah projek ini untuk disiapkan segera demi keselesaan dan keselamatan penduduk di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, wakil kontraktor utama projek, Datuk Ahmad Fazli Ahmad Nordin berkata, pihaknya komited untuk menyiapkan projek berkenaan secepat mungkin selaras dengan hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar projek itu disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan.

Beliau berkata, kerja-kerja di tapak pembinaan bagaimanapun terpaksa dihentikan sementara sejak minggu lalu susulan kekangan aliran tunai yang dihadapi syarikat konsesi.

“Pihak kontraktor tidak berdepan masalah untuk meneruskan semula kerja pembinaan sekiranya isu pembiayaan dapat diselesaikan segera oleh pihak bank.

“Kalau isu pembiayaan ini dapat diselesaikan dengan segera oleh pihak bank, esok pun kita boleh teruskan kerja.

“Kita hanya menumpukan kepada garis masa yang telah ditetapkan iaitu hujung tahun ini. Insya-Allah, kita akan siapkan seperti dijanjikan,” ujarnya.

Terdahulu, Seksyen 1 Lebuh Raya EKVE telah dibuka pada tahun lalu bermula dari Persimpangan Bertingkat Sungai Long sehingga ke Persimpangan Bertingkat Ampang yang mampu mengurangkan kesesakan jalan raya khususnya di kawasan pinggir Lembah Klang, manakala Seksyen 2 EKVE pula akan menghubungkan laluan fasa pertama itu terus ke Ukay Perdana.