'Umpama penjara seumur hidup' - 25 tahun terlalu lama untuk tiga gajah di Jepun

Iklan
Sebahagian peserta mewakili beberapa NGO menghadiri Himpunan Solidariti Bersama DAK di ZTNS di Taiping pada Sabtu.

TAIPING – Tempoh perjanjian persefahaman (MoU) bagi menempatkan tiga ekor gajah Malaysia iaitu Dara, Amoi dan Kelat (DAK) ke Tennoji Zoo, Osaka, Jepun selama 25 tahun disifatkan terlalu lama dan tidak munasabah. 

Koordinator Sekretariat Solidariti Bersama DAK, Neow Choo Seong berkata, tempoh tersebut seolah-olah satu ‘hukuman penjara seumur hidup’ kepada tiga gajah berkenaan, khususnya Kelat yang kini berusia 25 tahun.

Iklan
Iklan

Selain itu katanya, tempoh tersebut juga boleh menimbulkan kebimbangan serius terhadap kesihatan dan kebajikan haiwan terbabit.

“Tempoh 25 tahun itu terlalu lama. Bayangkan dalam diplomasi panda dengan negara China, kita hanya bersetuju dengan tempoh lima tahun sahaja.

Iklan

“Setiap lima tahun, kedua-dua negara akan menyemak semula keadaan panda terutama dari segi kebajikan dan kesihatan sebelum membuat keputusan lanjut,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian sempena Himpunan Solidariti Bersama DAK di Zoo Taiping & Night Safari di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurut Choo Seong yang pernah terlibat dalam projek diplomasi panda Malaysia pada 2013 dan 2014, sebarang perjanjian melibatkan pemindahan haiwan antara negara sepatutnya mempunyai mekanisme semakan berkala serta pelan penghantaran pulang sekiranya keadaan didapati memudaratkan.

“Malah dalam perjanjian panda pun ada pelan keluar dan pelan repatriasi. Jika keadaan didapati tidak sihat atau memudaratkan, negara penghantar mempunyai hak untuk membawa pulang semula haiwan tersebut.

“Dalam isu ini, kami tidak tahu apa kandungan MoU itu. Apakah syarat yang dipersetujui dan siapa sebenarnya mewakili pihak Malaysia?” soalnya.

Beliau berkata, pertukaran haiwan antara negara seharusnya dilaksanakan di peringkat kerajaan dengan kerajaan, bukannya sekadar melibatkan dua zoo atau pihak berkuasa tempatan.

Choo Seong (dua dari kanan) menunjukkan memorandum sebelum menghantarnya kepada MPT di Wisma Perbandaran Taiping pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menggesa kerajaan menubuhkan segera satu pasukan khas bagi menjalankan audit bebas terhadap keadaan semasa DAK yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji.

Katanya, pasukan itu perlu dianggotai pakar gajah, pakar haiwan dan pakar zoologi bebas bagi menilai aspek kesihatan fizikal serta mental tiga gajah berkenaan.

“Kita mahu tindakan, bukan sekadar kenyataan. Kerajaan perlu tubuh pasukan khas untuk membuat lawatan audit bebas dan menilai sendiri keadaan mereka.

“Jika keadaan terbukti tidak kondusif, kerajaan perlu menyediakan pelan repatriasi untuk membawa pulang tiga ekor gajah kita,” katanya.

Tambah beliau, pihaknya memberi tempoh tujuh hari kepada kerajaan untuk menubuhkan pasukan khas tersebut, dan sekiranya tiada tindakan diambil, satu himpunan lebih besar akan dianjurkan bagi mendesak campur tangan segera kerajaan.

Sementara itu, wakil NGO Projek Pulang, Fuad Khalid turut menyokong cadangan penubuhan pasukan khas berkenaan.

Beliau mendakwa sehingga kini tiada bukti kukuh menunjukkan kebajikan DAK benar-benar terjamin di zoo terbabit termasuk dakwaan berat badan haiwan itu meningkat.

“Peningkatan berat badan bukan ukuran mutlak kesejahteraan haiwan kerana data yang kami teliti menunjukkan bacaan berat badan boleh berubah secara normal setiap hari.

“Apa yang lebih penting ialah penilaian saintifik dan pemantauan berterusan oleh pihak berkecuali,” katanya.

Tambah beliau, matlamat utama mereka tetap mahu membawa pulang ketiga-tiga gajah itu ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan Kuala Gandah demi memastikan kebajikan haiwan berkenaan terus terpelihara.

Media sebelum ini melaporkan Majlis Perbandaran Taiping (MPT) menjelaskan DAK yang kini ditempatkan di Zoo Tennoji, Osaka, Jepun melibatkan perjanjian bagi tempoh selama 25 tahun.

Yang Dipertua MPT, Mohamed Akmal Dahalan berkata, perjanjian itu merupakan kerjasama antarabangsa yang dipersetujui di antara Zoo Tennoji dengan ZTNS yang diwakili oleh MPT dan telah dipersetujui pada Mei dan Oktober 2022.