SUNGAI PETANI - Operasi pencarian warga emas yang dilaporkan hilang di Kampung Masjid, Tikam Batu di sini diperluaskan sehingga kira-kira sembilan kilometer sepanjang tali air, hari ini.
Pegawai Komander Operasi Kanan, Timbalan Ketua Zon 2, Penguasa Bomba Bryan Del Bungkias berkata, setakat ini tiada petunjuk baharu ditemui, namun operasi di kawasan terbabit tetap diteruskan.
"Belum ada petunjuk, hari ini operasi lebih terperinci dan menyeluruh membabitkan kawasan yang belum diteroka, termasuk lokasi berpotensi mangsa berada.
"Pencarian membabitkan atas darat dan air kira-kira sembilan kilometer sepanjang tali air termasuk sawah padi dan atas ban. Logiknya tak sampai sana tapi kita ambil segala kemungkinan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tikam Batu, Penolong Penguasa Bomba Fauzi Shuaib berkata, antara cabaran yang dihadapi termasuk motivasi anggota bomba yang semakin berkurang susulan ketiadaan petunjuk.
"Apabila tiada petunjuk dalam operasi pencarian mangsa, sedikit down di peringkat awal tetapi kita ketepikan semua tu.
"Walaupun begitu, kita sedaya upaya melakukan yang terbaik pada hari ketiga ini agar pencarian lancar," katanya.
Difahamkan, operasi tersebut melibatkan seramai 45 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Sungai Petani dan Jitra, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Unit K9 Bomba dan penduduk kampung.
Hadir sama membantu operasi, Ketua Polis Balai Tikam Batu, Sarjan Mejar Ahmad Zabidi Lamun.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang warga emas, Mohd Khalid Salleh, 84, hilang dari rumahnya di Kampung Masjid, Tikam Batu sejak petang Sabtu.
Siasatan awal mendapati sehelai selimut yang ditemui berhampiran tali air dipercayai milik mangsa dijadikan maklumat awal kemungkinan mangsa jatuh di kawasan berkenaan.