ALOR SETAR - Raja Muda Kedah, Tengku Sarafudin Badlishah Sultan Sallehuddin bertitah, masjid tidak boleh sama sekali dijadikan medan perbalahan dan menyemai bibit perpecahan, sebaliknya kekal sebagai tempat menyatukan masyarakat.
Baginda bertitah, sebarang unsur politik hendaklah dijauhkan sepenuhnya daripada ruang masjid, sama ada dalam bentuk ucapan, ceramah mahupun perbincangan tidak rasmi yang boleh mencetuskan ketegangan.
Titah baginda, sebarang penganjuran program politik oleh mana-mana pihak dalam apa jua bentuk sekalipun di premis masjid dan surau adalah tidak dibenarkan.
"Masjid merupakan lambang kesatuan umat Islam. Justeru, keharmonian di dalam masjid hendaklah sentiasa dipelihara dengan penuh rasa tanggungjawab," titah baginda dalam Seminar Pemerkasaan Institusi Masjid Negeri Kedah Darul Aman Tahun 2026.
Baginda mengingatkan, apabila masjid terpelihara daripada perpecahan, maka masyarakat lebih aman dan bersatu.
"Dalam aspek pengurusan pula, saya ingin menegaskan bahawa masjid hendaklah diurus dengan penuh profesionalisme, kompetensi dan integriti," titah baginda.
Selain itu, Tengku Sarafudin Badlishah bertitah, jawatankuasa masjid perlu memainkan peranan secara aktif dan bertanggungjawab dalam merancang serta melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada kariah.
Tengku Sarafudin Badlishah yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) turut menekankan kepentingan pengurusan kewangan hendaklah dilaksanakan dengan telus, teratur dan betul kerana setiap sen yang disumbangkan oleh masyarakat adalah amanah.
"Elakkan sebarang bentuk salah guna kuasa atau kecuaian yang boleh menjejaskan kepercayaan masyarakat terhadap institusi masjid," titah baginda.
Baginda dalam masa sama turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua imam, bilal dan pengurusan masjid di Kedah atas jasa dan pengorbanan dalam memakmurkan masjid serta mendidik masyarakat.
"Sesungguhnya, peranan tuan-tuan amat besar, bukan sahaja sebagai pemimpin ibadah, bahkan sebagai pembimbing ummah yang menentukan arah kefahaman dan amalan masyarakat Islam yang benar," titah baginda.
Baginda turut mengarahkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah supaya terus memberi penerangan, latihan serta menyediakan kaedah atau peraturan bagi memudahkan pihak masjid memahami dan melaksanakan Garis Panduan Kewangan yang telah dikeluarkan pada 1 September 2022.
"Segala dasar dan ketetapan daripada Majlis Agama Islam Negeri Kedah dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah hendaklah dihormati dan dilaksanakan dengan penuh disiplin.
"Ini termasuklah pematuhan terhadap Garis Panduan Penggunaan Pembesar Suara di Masjid dan Surau. Para Imam dan Jawatankuasa Kariah hendaklah memastikan agar garis panduan tersebut dipatuhi sepenuhnya," titah baginda.
Sebagai contoh, baginda bertitah, laungan azan sewajarnya digunakan pembesar suara luar, manakala bagi ceramah, kuliah dan lain-lain hendaklah menggunakan pembesar suara dalam dengan kadar bunyi bersesuaian, tidak menyakitkan dan memekakkan telinga.
"Perkara ini mungkin kelihatan kecil, namun ia memberi kesan besar kepada keharmonian masyarakat setempat.
"Gunakanlah kemudahan yang ada dengan penuh hikmah, mengambil kira sensitiviti masyarakat dan mengelakkan sebarang gangguan yang tidak perlu," titah baginda.
Baginda berpesan, masjid tidak seharusnya diimarahkan pada waktu solat sahaja, tetapi perlu dihidupkan dengan pelbagai aktiviti yang memberi manfaat kepada masyarakat.
"Program berbentuk pendidikan, kebajikan, kemasyarakatan, pembangunan belia dan kekeluargaan perlu diperkasakan. Masjid mempunyai potensi besar untuk membantu meningkatkan taraf ekonomi masyarakat setempat melalui pelaksanaan program dan aktiviti ekonomi yang terancang.
"Sebagai contoh, Masjid Al Busyra, Merbok telah berjaya membangunkan hotel, kedai runcit serta menyediakan sewaan tapak perniagaan dalam kawasan masjid.
"Manakala Masjid Sharifah Fatimah, Jitra pula mengusahakan dobi layan diri, sewaan tapak perniagaan serta menganjurkan karnival makanan yang berjaya menarik kehadiran masyarakat ke masjid," titah baginda.
Baginda bertitah, langkah proaktif yang diambil oleh jawatankuasa masjid itu wajar dijadikan contoh dan inspirasi kepada masjid-masjid lain agar program ekonomi Islam dapat dilaksanakan secara berterusan dan konsisten demi kesejahteraan ummah.