BACHOK -"Sudah lima hari saya menahan sakit, tidak dapat makan dan bercakap gara-gara akar gigi geraham bongsu gagal dicabut oleh seorang doktor gigi wanita di sebuah klinik kerajaan di sini pada Khamis lalu."
Demikian luah seorang suri rumah yang ingin dikenali sebagai Auni berusia 24 tahun selepas pengalaman 'ngeri' itu dikongsinya di media sosial mendapat pelbagai respon warganet.
Menurutnya, pada Khamis lalu dia telah membuat temu janji melalui aplikasi My Sejahtera pada sebelah pagi untuk mencabut gigi geraham bongsu sebelah kanan bahagian atas.
Ujar dia, sebelum itu pada Ahad iaitu 26 April, gigi geragam bongsu sebelah bawah telah dicabut dan doktor yang berbuat demikian telah memintanya datang semula untuk mencabut juga gigi geraham bongsu sebelah kanan bahagian atas.
"Ia dilakukan oleh dua doktor yang berbeza. Pada hari kejadian (Khamis) seorang doktor wanita telah cuba mencabut gigi geraham bongsu sebelah kanan bahagian atas namun dia seperti tidak yakin.
"Dia ada meminta bantuan kepada seorang doktor lelaki yang ada bersama ketika itu namun tidak dilayan. Selepas itu doktor wanita ini mencuba sekali lagi sehingga menyebabkan gigi tersebut patah separuh dan tertinggal akar," katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Auni memberitahu, dia telah dibius beberapa kali namun kesakitan tetap terasa sehinggalah doktor wanita ini memintanya untuk meminta pertolongan sendiri kepada doktor lelaki terbabit.
Ujarnya, dia bangun dan meminta bantuan doktor lelaki terbabit, namun permintaan itu masih ditolak.
"Saya tidak boleh cabut...itu sahaja ayat yang diberikan. Kemudian saya diminta pulang dan dibekalkan ubat antibiotik.
"Di rumah apabila ubat bius sudah habis, saya mengalami sakit yang melampau sehingga memaksa untuk pergi ke salah sebuah klinik gigi kerajaan di Pasir Puteh. Di sini pun mereka tidak boleh berbuat apa-apa kerana gusi dan pipi saya telah membengkak.
"Doktor membius saya tiga kali kemudian diminta pulang. Saya diminta untuk membuat temu janji di klinik sebelumnya. Pada malam tersebut pipi saya mulai membengkak dan mulut mengalami luka kecil," katanya.
Menurut suri rumah itu, pada hari Sabtu dia telah ke unit kecemasan di Pasir Puteh kerana tidak dapat tidur pada malamnya dan telah dicucuk dan diberikan ubat tahan sakit.
Ujarnya sehingga Isnin dia hanya mampu menahan sakit dan sukar untuk makan serta tidur dengan lena kerana pipinya masih bengkak, selain bahagian mulut yang luka.
"Saya kini hanya bertahan dengan ubat tahan sakit sahaja. Hendak gosok gigi juga sukar," katanya.