IPOH - Program Food Bank terus menjadi talian hayat kepada golongan kumpulan isi rumah terendah (B40) apabila inisiatif itu membantu meringankan beban kos sara hidup yang semakin meningkat ketika ini.
Inisiatif itu digerakkan Ariff Frozen Food dengan kerjasama Persatuan India Muslim Perak (PRIM) apabila kira-kira 350 penerima sekitar Ipoh dan kawasan berhampiran menerima sumbangan keperluan asas di Taman Seri Tasek di sini pada Ahad.
Bantuan yang disalurkan merangkumi tiga bungkusan mengandungi barangan runcit, makanan sejuk beku dan sayur-sayuran dengan anggaran sekitar RM150 yang mampu menampung keperluan dapur penerima untuk beberapa hari.
Seorang penerima, Hafizah Din, 49, berkata, bantuan itu amat bermakna buat keluarganya yang kini berdepan kekangan kewangan selepas suaminya mengalami strok.
Menurutnya, dengan lapan tanggungan termasuk tiga anak yang masih bersekolah, bantuan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan harian.
“Saya sendiri tidak bekerja kerana masalah kesihatan dan hanya bergantung kepada bantuan bulanan daripada Baitulmal sebanyak RM600.
“Bantuan seperti ini memang sangat membantu, lebih-lebih lagi dalam keadaan sekarang,” katanya.
Seorang lagi penerima, Mohamad Hariharan Abdullah, 26, dari Buntong berkata, sumbangan diterima memberi kelegaan sementara menunggu gaji.
Katanya, keadaan harga barangan yang semakin meningkat menyebabkan perbelanjaan kini jauh berbeza berbanding sebelum ini.
“Dulu dengan RM100 boleh beli banyak barang, sekarang RM500 pun belum tentu cukup,” katanya.
Bagi warga emas, Rudy Leong, 65, program seumpama itu wajar diteruskan kerana memberi manfaat besar kepada golongan memerlukan.
"Tengok barang yang diberikan ini...banyak, ada macam-macam. Boleh guna menampung keperluan makanan untuk beberapa hari," katanya yang datang dari Taman Perpaduan, Tambun.
Sementara itu, Pengarah Urusan Ariff Frozen Food, Fauziah Mohd Arib berkata, program berkenaan telah dimulakan sejak 2016 dengan hanya 50 penerima sebelum diperluaskan secara berperingkat setiap tahun.
Menurutnya, peningkatan jumlah penerima itu didorong oleh sokongan berterusan daripada pembekal serta pihak penaja yang bersama-sama menjayakan inisiatif tersebut.
"Antara barangan yang diagihkan termasuk ayam, ikan, makanan laut, beras, telur, tepung dan bihun.
"Ini salah satu cara berkongsi rezeki kerana kita tahu kesusahan ditanggung rakyat terutama dalam keadaan ekonomi ketika ini. Harap ia dapat membantu," katanya.
Beliau berkata, bagi memastikan bantuan sampai kepada golongan benar-benar layak, proses pemilihan penerima tahun ini diselaraskan oleh PRIM.
“Kita juga menetapkan satu keluarga hanya layak menerima satu set bantuan,” katanya.