RXZ Fighter 3.0 'menyala' dengan kehadiran 50,000 pengunjung

Iklan
Fadzli (depan) bersama Khaizulnizam menyertai konvoi bermotosikal ke tapak acara perasmian RXZ Fighter 3.0 di Serambi Teruntum di sini pada Sabtu. Foto FB Fadzli Kamal

KUANTAN - Acara permotoran RXZ Fighter sentiasa dinantikan apabila penganjurannya untuk edisi ketiga di sini 'menyala' dengan sambutan hangat peminat sukan permotoran dari seluruh negara.

RXZ Fighter 3.0 yang berlangsung di perkarangan Serambi Teruntum di sini pada Jumaat dan Sabtu lalu merekodkan kehadiran 50,000 pengunjung terutama dalam kalangan pemilik dan peminat jentera legenda sepanjang zaman, Yamaha RXZ.

Iklan
Iklan

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, edisi ketiga itu sekali lagi berjaya menghimpunkan komuniti permotoran bukan sahaja peminat jentera RXZ malah pemilik motosikal lain turut hadir memeriahkan suasana.

Fadzli bersama ribuan pengunjung yang hadir pada acara RXZ Fighter 3.0 di Serambi Teruntum di sini pada Sabtu.

Iklan

Menurutnya, acara permotoran itu antara inisiatif bagi menyokong dan meraikan anak muda yang meminati dunia permotoran.

"Kerajaan Pahang terutamanya Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail sentiasa memberikan sokongan penuh dalam usaha merancakkan aktiviti permotoran di negeri ini," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir mewakili Wan Rosdy menyempurnakan Majlis Perasmian RXZ Fighter 3.0 di sini pada Sabtu lalu.

Ribuan jentera Yamaha RXZ menghiasi tapak acara RXZ Fighter 3.0 di Serambi Teruntum di sini pada Sabtu.

Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemayan, Khaizulnizam Mohamad Zuldin selaku wakil penganjur.

Fadzli juga menzahirkan penghargaan kepada pihak penganjur dan para penaja yang bertungkus-lumus menjayakan program tersebut.

"Tahniah kerana berjaya merealisasikan hasrat bersama ini untuk edisi ketiga dengan jayanya. Saya khususnya kerajaan negeri sebagai pemudah cara bagi menyokong minat anak muda ini.

"Ia sudah edisi ketiga, tak sangka pada permulaannya dahulu mungkin kita sendiri tak percaya acara ini boleh berlangsung di bumi Pahang," ujarnya.

Fadzli ketika berucap pada Majlis Perasmian RXZ Fighter 3.0 di Serambi Teruntum pada Sabtu.

Sementara itu, mengulas penganjuran edisi seterusnya tahun hadapan, Fadzli berkata, pihaknya akan meneliti cadangan termasuk kemungkinan mengadakan acara di luar Kuantan.

"Kita akan mengadakan perbincangan lanjut terhadap cadangan ini termasuk kemungkinan acara itu diadakan di lokasi litar drag di Pekan.

"Sekiranya litar di Pekan itu siap dinaik taraf, ia satu lokasi yang menarik luar Kuantan," katanya.

Bagaimanapun katanya, setakat ini hanya Kuantan yang menepati ciri-ciri untuk laksana ‘event’ besar itu.

“Tempat lain itu setakat ini belum ada tapi kita tengok nanti cadangan lain selepas ini,” katanya.

Fadzli (depan) bersama Khaizulnizam menyertai konvoi bermotosikal ke tapak acara perasmian RXZ Fighter 3.0 di Serambi Teruntum di sini pada Sabtu. Foto FB Fadzli Kamal

Sementara itu, rata-rata pengunjung yang ditemui mengaku sentiasa menantikan acara itu malah ada di antara mereka tidak pernah 'miss' sejak edisi pertama.

Anggota tentera dari sebuah kem di Taiping, Perak, Khairul Azlan Salam, 34, berkata, RXZ Fighter berjaya mengumpulkan peminat sukan permotoran di negara ini.

"Nama sahaja RXZ Fighter tapi kalau kita tengok motor-motor lain pun ada.

"Saya datang semua edisi. Selain itu, saya suka datang ke sini kerana banyak tempat menarik dan makanannya pun sedap-sedap," katanya.

Pandangan sama dilontarkan peminat jentera Yamaha RXZ dari Tanah Merah, Kelantan, Zainul Aqrami Mohamad, 36.

Dia yang tidak pernah terlepas acara itu sejak awal mengakui RXZ Fighter memiliki aura tersendiri menghimpunkan peminat sukan permotoran.

"Kebetulan pula Kuantan banyak tempat menarik jadi berbaloi kami 'ride' jauh -jauh ke sini," katanya.

Sementara itu, wakil pempamer, Daing Asyraf Qayyum Embok Ongah, 34, pula mencadangkan agar acara itu diteruskan untuk edisi seterusnya.

"RXZ Fighter ini pada pandangan saya cukup hangat dan mendapat sambutan luar biasa dan sesuai bagi pengusaha berkaitan untuk mempromosikan produk masing-masing," katanya.