Dunia kecam tindakan cetusan lanun rejim Zionis

Iklan
Aktivis pro-Palestin mengadakan demonstrasi dengan membawa patung karikatur Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu serta sepanduk bertulis pembunuh di Barcelona. Foto AFP

GAZA – Tindakan rejim Zionis Israel memintas konvoi kapal bantuan kemanusiaan menuju Gaza di perairan antarabangsa mencetuskan kecaman meluas daripada pemimpin dunia, pertubuhan hak asasi dan badan media.

Menurut laporan Al Jazeera, Israel telah memintas sekurang-kurangnya 22 daripada 58 kapal yang menyertai Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0, yang membawa aktivis serta bantuan kemanusiaan ke Gaza.

Iklan
Iklan

Kapal-kapal itu dilaporkan disekat ketika berada di perairan antarabangsa berhampiran Greece, jauh dari kawasan pantai Gaza.

Selepas operasi pemintasan tersebut, Israel menahan ratusan aktivis termasuk wartawan Al Jazeera.

Iklan

Jurucakap flotila mendedahkan sekitar 211 individu termasuk 10 rakyat Malaysia telah ditahan, manakala Kementerian Luar Israel menganggarkan kira-kira 175 orang berada dalam kawalan mereka.

Israel kemudian dilaporkan merancang untuk memindahkan kesemua tahanan ke Greece dengan kerjasama kerajaan negara itu.

Iklan

Menteri Luar Israel, Gideon Saar berkata, langkah berkenaan dibuat selepas koordinasi dengan Athens, termasuk proses pemindahan ke kawasan pantai Greece dalam masa terdekat.

Penduduk Palestin mengadakan piket solidariti sebagai tanda sokongan terhadap GSF di Gaza City. Foto AFP

Undang reaksi keras antarabangsa

Sepanyol mengecam operasi tersebut sebagai tidak sah dan melanggar undang-undang antarabangsa, dengan Perdana Menteri Pedro Sánchez menegaskan Israel telah menyerang kapal awam di perairan asing.

Turkiye pula menyifatkan insiden itu sebagai tindakan lanun, manakala Itali dan Jerman masing-masing menggesa pembebasan segera semua tahanan serta menyeru pematuhan penuh terhadap undang-undang antarabangsa.

Pertubuhan hak asasi Amnesty International turut menuntut pembebasan tanpa syarat kesemua aktivis selain menekankan keperluan layanan kemanusiaan terhadap mereka yang ditahan.

Dalam pada itu, Hamas mengecam tindakan tersebut sebagai jenayah dan menuntut pembebasan segera semua individu yang terlibat dalam flotila berkenaan.

Israel bagaimanapun mempertahankan operasi itu dengan menyifatkan flotila tersebut sebagai provokasi, serta mendakwa tindakan pintasan dilakukan bagi menghalang pelanggaran sekatan laut ke atas Gaza.

Tangkap layar daripada rakaman CCTV hitam putih menunjukkan ahli di atas bot flotila mengangkat tangan ketika pasukan Israel memintas aktivis berhampiran pulau Crete di selatan Greece pada awal pagi Khamis. Foto Agensi

Ketegangan ini berlaku ketika Gaza masih berada di bawah sekatan berpanjangan, dengan krisis kemanusiaan dilaporkan semakin meruncing susulan konflik berterusan di rantau itu.

Insiden itu turut meningkatkan tekanan diplomatik ke atas Israel apabila beberapa negara Eropah dilaporkan sedang mempertimbangkan tindakan susulan di peringkat Kesatuan Eropah, termasuk semakan semula hubungan dua hala serta kerjasama keselamatan maritim di Mediterranean.

Sementara itu, penganjur flotila menegaskan bahawa misi mereka adalah sepenuhnya kemanusiaan dan tidak bersifat provokatif, dengan tujuan membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan bantuan asas kepada penduduk Gaza yang terjejas akibat sekatan berpanjangan.

Ketika keadaan masih tegang, pertubuhan antarabangsa serta badan hak asasi menyeru agar semua tahanan dilindungi dan dibebaskan segera, selain menggesa supaya laluan bantuan kemanusiaan ke Gaza tidak lagi dihalang demi mengelakkan krisis kemanusiaan yang lebih buruk di rantau itu.

Bot-bot flotila kemanusiaan menuju Semenanjung Gaza dilihat membuat pelepasan simbolik dari Pelabuhan Vell, Barcelona pada 12 April 2026, ketika pelayaran ditangguhkan akibat cuaca buruk. Foto AFP

INFO PENAHANAN

Lokasi insiden: Perairan antarabangsa berhampiran Greece (berhampiran Crete)

Jumlah kapal terlibat: 58 buah kapal

Kapal dipintas Israel: Sekurang-kurangnya 22 kapal

Jumlah ditahan (anggaran Israel): ±175 orang

Jumlah ditahan (penganjur flotila): ±211 orang termasuk aktivis antarabangsa dan 10 rakyat Malaysia.

Tindakan seterusnya: Israel memaklumkan tahanan akan dipindahkan ke Greece dengan kerjasama kerajaan Athens.- Agensi