SHAH ALAM - Malaysia terus memperkukuh peranan di pentas antarabangsa apabila menjadi satu-satunya wakil ASEAN menghadiri Kongres Parlimen Global Sumud dan Deklarasi Brussels yang berlangsung di Brussels, baru-baru ini.
Pengerusi Kaukus Parlimen Malaysia untuk Palestin, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, penyertaan itu adalah hasil mandat daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyuarakan pendirian negara berhubung isu Palestin.
Menurutnya, kongres berkenaan menghimpunkan kira-kira 30 penceramah antarabangsa termasuk 18 ahli Parlimen, menteri, timbalan menteri dan wakil eksekutif dari blok Eropah serta Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) .
"Platform ini bukan sekadar simbolik, tetapi ruang untuk membina momentum sokongan global terhadap Palestin, termasuk dari negara Eropah yang kini semakin lantang mengkritik Israel.
"Antara hasil utama pertemuan itu ialah Deklarasi Brussels yang menggariskan tindakan lebih konkrit merangkumi aspek politik, perundangan dan gerakan solidariti.
"Daripada simbolik kepada sistem, solidariti kepada protokol. Kita mahu pastikan usaha ini tidak terhenti pada kenyataan semata-mata," katanya dalam program audio siar bertajuk 'Sokong sumud atau sokong Gaza' yang disiarkan di platform digital Sinar Harian pada Khamis.
Dalam pada itu Syed Ibrahim menegaskan, gerakan seperti Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) dilihat antara pendekatan berkesan, namun perlu disertai tindakan lain termasuk di peringkat politik dan perundangan.
Menurutnya, Malaysia melalui kerjasama antarabangsa sedang meneroka tindakan undang-undang terhadap pegawai tinggi Israel di mahkamah Perancis atas dakwaan pelanggaran undang-undang kemanusiaan.
"Cadangan memperkenalkan Akta Genosid Malaysia juga sedang dipertimbangkan bagi membolehkan pendakwaan jenayah perang melalui prinsip bidang kuasa sejagat.
"Kita mahu mengesyorkan undang-undang di peringkat domestik iaitu enabling legislation yang membolehkan kita membuat pendakwaan jenayah perang di mahkamah Malaysia melalui prinsip bidang kuasa sejagat.
"Jadi saya mengambil maklum dengan apa yang dicadangkan oleh pengamal undang-undang tempatan dan tentunya ia perlu melalui proses supaya usul ini boleh dibawa ke Parlimen, akta ini boleh didraft dan akhirnya boleh diluluskan di peringkat Dewan Rakyat," ujarnya.
Sementara itu mengulas mengenai misi Global Sumud Flotilla 2.0 yang turut diwakili oleh rakyat Malaysia, Syed Ibrahim menasihatkan agar orang ramai tidak terpengaruh dengan spekulasi atau fitnah yang boleh menjejaskan matlamat utama.
"Kita akan sentiasa berdepan kritikan, tetapi jangan hilang fokus. Matlamat kita adalah keadilan dan kemanusiaan untuk rakyat Palestin.
"Kelemahan yang perlu diperbaiki adalah dari segi komunikasi atau penyampaian di peringkat pihak penganjur untuk menyampaikan kepada rakyat Malaysia bahawa seharusnya setiap persoalan yang ditimbulkan ada jawapan," katanya.