Rokok haram meningkat, Malaysia hilang hasil RM4 bilion

Iklan
Didier dan Mohammad Nazli (kiri) ketika sidang media Kajian Rokok Haram NielsenIQ 2025 di ibu negara, pada Khamis.

KUALA LUMPUR - Malaysia kehilangan hasil sebanyak RM4 bilion akibat ketirisan cukai daripada 56.7 peratus rokok haram, meskipun kerajaan melaksanakan beberapa langkah kawal selia seperti penamatan moratorium cukai, larangan paparan runcit pada Oktober serta kenaikan cukai eksais November tahun lalu.

Berdasarkan Kajian Rokok Haram NielsenIQ 2025 diterbitkan Japan Tabacco International (JTI) Malaysia, kadar rokok haram terus meningkat daripada 54.3 peratus pada September 2025, 54.4 peratus pada November 2025 dan 56.7 peratus pada Januari 2026, peningkatan sebanyak 2.3 peratus dalam masa dua bulan.

Iklan
Iklan

JTI Malaysia turut menzahirkan kebimbangan terhadap peningkatan kecanggihan rantaian bekalan haram serta pertambahan penggunaan setem cukai palsu.

Penemuan utama daripada Laporan ICS 2025 mengetengahkan landskap industri semasa serta dapatan baharu yang dikongsikan oleh JTI Malaysia.

Iklan

Peratusan rokok dengan setem cukai palsu meningkat hampir dua kali ganda daripada 8.7 peratus pada 2023 kepada 16.0 peratus pada Januari 2026, iaitu paras tertinggi yang pernah direkodkan.

Pengarah Urusan JTI Malaysia, Didier Ellena berkata, kadar rokok haram di pasaran berisiko meningkat kepada 80 hingga 90 peratus sekiranya tiada pendekatan dasar yang stabil dilakukan segera, sekali gus memberi kesan lebih buruk terhadap hasil kerajaan serta kesihatan awam.

Iklan

Menurutnya, sistem sedia ada belum cukup optimum dalam menangani isu rokok haram di pasaran.

"Jika cukai terus naik, jurang harga akan melebar dan rokok haram boleh meningkat 80 hingga 90 peratus di pasaran.

"Rokok haram turut menimbulkan risiko kesihatan awam kerana produk haram tidak mematuhi sebarang peraturan, tiada standard kualiti atau kawalan yang direka untuk melindungi pengguna, berbeza dengan produk sah.

"Ini bukan sahaja isu ekonomi, tetapi juga satu tanggungjawab awam," katanya pada sidang media Kajian Rokok Haram NielsenIQ 2025 di sini pada Khamis.

Sebelum ini, media melaporkan pembongkaran kemudahan pengilangan rokok haram berskala besar, termasuk setem cukai Malaysia palsu bernilai hampir RM60 juta bagi produk yang disasarkan untuk pasaran Malaysia, dalam satu operasi penguatkuasaan di Filipina.

Didier berkata, perkembangan tersebut amat membimbangkan kerana ia mendedahkan penghasilan setem cukai Malaysia palsu di luar negara dalam skala yang besar.

"Pengendali aktiviti haram ini bukan sahaja lari daripada sistem yang ada, malah cuba menirunya. Kes ini mengesahkan bahawa perdagangan haram kini bersifat terancang, berskala besar dan rentas sempadan, dengan Malaysia menjadi sasaran utama.

"Terdapat keperluan mendesak untuk memperkukuh sistem seperti penggunaan kod cukai digital, mengukuhkan keupayaan penjejakan dan pengesanan serta kerjasama serantau untuk menangani perdagangan haram rentas sempadan," katanya.

Tambah beliau, Malaysia juga perlu mengekalkan kestabilan dasar dalam jangka masa terdekat, mempertimbangkan moratorium cukai bersasar dalam tempoh tertentu, menyelaraskan percukaian merentas kategori produk nikotin serta memperluas sistem penjejakan rantaian bekalan.

"Perbezaan struktur percukaian antara kategori produk yang berbeza berpotensi mendorong perubahan tingkah laku pengguna yang tidak diingini. Justeru, pendekatan dan kerangka yang lebih konsisten dan seimbang adalah diperlukan.

"Berdasarkan trend penggunaan semasa, penyelarasan antara cukai ke atas vape dengan produk tembakau dipanaskan berpotensi menjana tambahan hasil kerajaan sekitar RM1.75 bilion setahun, sekali gus menunjukkan skala penggunaan dan peluang fiskal yang ketara," katanya.

Mohammad Nazli membentangkan Kajian Rokok Haram NielsenIQ 2025 di ibu negara, pada Khamis.

Dalam pada itu, Pengarah Hal Ehwal Korporat dan Komunikasi JTI Malaysia, Mohammad Nazli Abdul Aziz menjelaskan, data peningkatan rokok haram dalam tempoh dua bulan menunjukkan lebih ramai akan beralih kepada produk yang tidak dikenakan cukai dan tidak dikawal selia, setiap kali kemampuan pengguna terjejas disebabkan jurang harga.

Justeru katanya, dasar perlu jelas untuk membezakan produk sah dan haram contohnya dengan menetapkan harga minimum rokok sebanyak RM12.

"Kadang-kadang sukar bezakan setem palsu dan asli, perlukan kemahiran. Tetapi penanda aras RM12 adalah paling jelas.

"Jadi kita perlukan satu sasaran nasional untuk membanteras sindiket rokok haram agar kita dapat memulihkan kembali hasil yang sepatutnya menjadi milik rakyat Malaysia.

"Ini bukan sekadar isu melibatkan industri. Ia isu fiskal negara yang perlu diberi perhatian dan ditangani secara serius," katanya.