KUALA LUMPUR – Himpunan Tangkap Azam Baki yang berlangsung di ibu negara dengan kehadiran ratusan peserta disifatkan sebagai petanda jelas bahawa bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli tidak lagi mendapat sokongan meluas rakyat.
Aktivis politik, Faizan Mohd Nor berkata, walaupun perhimpunan itu didakwa melibatkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik, jumlah kehadiran yang rendah menunjukkan ia gagal menarik sokongan seperti himpunan Reformasi dan Bersih sebelum ini.
Iklan
Iklan
“Maknanya, rakyat telah menolak Rafizi kerana beliau dilihat gagal dalam pelbagai aspek, termasuk tidak menunaikan janji manifesto dan kurang berkesan ketika memegang jawatan Menteri Ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Media sebelum ini melaporkan kira-kira 500 individu berkumpul di pusat bandar bagi menyertai perhimpunan berkaitan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki yang dianjurkan Rafizi.
Dalam pada itu, Faizan bersama pengasas Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ng Lum Yong serta puluhan peserta turut mengadakan demonstrasi di hadapan pejabat Rafizi bagi mendesak beliau bersara daripada politik.
Mengulas lanjut, beliau berkata, kegagalan Rafizi menarik kehadiran besar seperti sebelum ini menunjukkan tokoh berkenaan tidak lagi relevan dalam kalangan masyarakat.
“Mungkin masih ada segelintir anak muda yang menyokong beliau, namun golongan dewasa termasuk dalam kalangan masyarakat Cina dilihat tidak lagi teruja,” katanya.