Sikap punca bahasa Melayu kian terhakis

Iklan
Pendekatan mengangkat emosi terhadap bahasa Melayu dilihat sebagai antara kaedah penting untuk mengubah sikap segelintir pihak yang masih memandang rendah terhadap bahasa kebangsaan. Gambar kecil: Kok Seong

SHAH ALAM – Pendekatan mengangkat emosi seperti rasa bangga, sayang dan setia terhadap bahasa Melayu dilihat sebagai antara kaedah penting untuk mengubah sikap segelintir pihak yang masih memandang rendah terhadap bahasa kebangsaan.

Mengulas perkara itu, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, beliau bersetuju bahawa isu utama yang membelenggu usaha memartabatkan bahasa Melayu ialah sikap masyarakat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, apabila punca masalah dikenal pasti sebagai sikap, maka usaha bersepadu perlu digerakkan bagi mengubah persepsi negatif atau neutral kepada satu pendirian yang lebih positif terhadap bahasa kebangsaan.

“Antara pendekatan yang boleh dilaksanakan ialah melalui kempen berterusan, namun yang lebih penting ialah usaha ‘mengemosikan’ bahasa Melayu dalam kalangan masyarakat.

Iklan

“Mengemosikan bahasa bermaksud kita perlu menyuntik elemen perasaan seperti bangga, sayang dan setia ketika menggunakan dan memperjuangkannya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Pada Isnin, Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia (PABMM), Kamarazaman Yacob memaklumkan, cabaran utama dalam memartabatkan bahasa Melayu berpunca daripada sikap pihak tertentu yang masih berfikiran kolonial serta kurang yakin terhadap keupayaan bahasa sendiri.

Iklan

Kok Seong menjelaskan, pembinaan rasa bangga merupakan langkah awal yang penting, termasuk menghapuskan perasaan malu menggunakan bahasa Melayu dalam pelbagai urusan rasmi mahupun tidak rasmi.

Sebagai contoh katanya, penggunaan bahasa Melayu dalam penamaan atau jolokan sesuatu tempat mencerminkan perasaan rasa bangga terhadap bahasa berkenaan.

“Sepatutnya kita mengutamakan bahasa sendiri, misalnya menggunakan istilah ‘Markas Sepak Takraw Negara’ berbanding istilah bahasa Inggeris.

"Selepas elemen kebanggaan dipupuk, usaha perlu diteruskan dengan membina rasa kasih dan sayang terhadap Bahasa Melayu sebagai bahasa negara kita," katanya.

Menurutnya, perasaan tersebut seterusnya akan melahirkan kesetiaan yang mendorong masyarakat untuk mempertahankan bahasa Melayu daripada sebarang ancaman.

Dalam pada itu, Kok Seong turut menegaskan elemen emosi seperti kebimbangan dan kesedaran juga penting bagi menyedarkan masyarakat tentang kedudukan bahasa Melayu yang semakin terhakis.

“Realitinya, bahasa Melayu kini berdepan fenomena peranjakan bahasa apabila peranannya semakin diambil alih oleh bahasa lain, khususnya dalam bidang tertentu termasuk pendidikan.

“Perubahan ini berlaku sama ada secara mendadak atau berperingkat, sekali gus menjadikan bahasa Melayu semakin kecil peranannya berbanding suatu ketika dahulu,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau berpandangan usaha 'mengemosikan' bahasa Melayu perlu digiatkan secara menyeluruh bagi mengubah sikap masyarakat agar lebih menghargai dan mempertahankan bahasa kebangsaan.