SYDNEY – Australia pada Selasa memperkenalkan draf undang-undang yang akan mengenakan cukai ke atas firma gergasi teknologi seperti Meta, Google dan TikTok sekiranya mereka enggan membuat perjanjian secara sukarela untuk membayar kandungan berita kepada media tempatan.
Langkah itu dibuat berikutan syarikat media tradisional di seluruh dunia kini bergelut untuk terus bertahan kerana pembaca kini beralih mendapatkan berita melalui media sosial.
Iklan
Iklan
Canberra mahu syarikat berkenaan memberi pampasan kepada penerbit tempatan atas perkongsian artikel yang menjana trafik kepada platform mereka.
Perdana Menteri Australia, Anthony Albanese, berkata, firma tersebut akan berdepan levi wajib sebanyak 2.25 peratus daripada hasil pendapatan mereka jika enggan memeterai perjanjian kandungan dengan penerbit berita tempatan.
Sebelum ini, Meta mengumumkan ia tidak akan memperbaharui perjanjian kandungan dengan penerbit berita di Amerika Syarikat (AS), Britain, Perancis dan Jerman yang membuat tuntutan sama. - AFP