KUALA LUMPUR - Persatuan Pembangunan Pelancongan Antarabangsa Malaysia (MITDA) menyasarkan kira-kira 500,000 pelancong dari China ke negara ini melalui inisiatif 'kad budaya digital' pada setiap bulan bagi merancakkan ekonomi negara.
Presidennya, Kapten Mahadzir Mansor berkata, sasaran itu dilihat realistik susulan potensi besar pasaran China serta sambutan awal yang menggalakkan
Menurutnya, pendekatan digital melalui kad pelancongan itu mampu menarik lebih ramai pelancong selain meningkatkan perbelanjaan mereka sepanjang berada di Malaysia.
"Jika sasaran ini dapat dicapai, ia akan beri impak besar kepada sektor pelancongan dan ekonomi negara," katanya ketika ditemui semasa Majlis Pelancaran Projek Kad Budaya Digital Visit Malaysia 2026 di sini pada Selasa.
Mahadzir berkata, konsep kad itu membolehkan pengguna di China mengumpul mata ganjaran melalui pembelian harian sebelum menebusnya dalam bentuk diskaun apabila melancong ke Malaysia.
Katanya, inisiatif itu turut menekankan konsep dua 'V' iaitu ‘volume’ dan ‘value’ bagi meningkatkan jumlah pelancong serta nilai perbelanjaan mereka.
"Bila mereka datang, kita bukan saja mahu jumlah yang ramai, tetapi mereka juga berbelanja lebih dan tinggal lebih lama di negara ini," jelasnya.
Tambahnya, projek itu dicadangkan syarikat NQ Cultural Commercial Sdn Bhd kini dalam fasa perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk vendor tempatan bagi menawarkan diskaun kepada pengguna kad.
"Pelaksanaan dijangka bermula sekitar pertengahan tahun ini dan kita yakin ia mampu menjadi pemangkin baharu kepada industri pelancongan," jelas beliau.
Katanya, inisiatif itu juga dilihat unik kerana menghubungkan aktiviti pembelian di luar negara dengan pengalaman pelancongan di Malaysia.
"Ini antara pendekatan pertama seumpamanya di dunia yang mana pengguna kumpul mata di negara asal dan gunakan manfaat itu di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, katanya, ujian awal di China menunjukkan sambutan positif apabila kira-kira 1,000 pengguna mendaftar dalam tempoh sejam.
"Ini petunjuk awal bahawa inisiatif ini ada potensi besar untuk menarik lebih ramai pelancong ke negara ini," tambah beliau.