KUALA LUMPUR - Perjuangan memartabatkan bahasa Melayu masih belum selesai walaupun negara telah merdeka lebih 60 tahun.
Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Bahasa Melayu Malaysia (PABMM), Kamarazaman Yacob berkata, cabaran utama datang daripada sikap segelintir pihak yang masih berfikiran kolonial dan memandang rendah terhadap keupayaan bahasa sendiri.
Menurutnya, justeru seluruh organisasi perlu bersama-sama berjuang untuk memartabatkan bahasa Melayu.
"Selain daripada perjuangan politik ini adalah satu perjuangan juga. Sepatutnya perkara ini sudah selesai tetapi tidak.
"Ini kerana masih ada kepimpinan kita meremeh, memperlekeh dan mempersendakan bahasa Melayu. Selagi kelompok ini ada perjuangan akan diteruskan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Pelancaran Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu Dan Malam Puisi Mengukir Bangda Serta Buku Bahasa Dan Peradaban Membina Bangsa.
Majils tersebut dirasmikan oleh Penaung Kehormat Pertubuhan Aspirasi Bahasa Melayu (PABMM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan diadakan pada 10 Oktober 2026 di Hotel Seri Pacific di sini pada Isnin.
Tambah Kamarazaman, simposium ini adalah anjuran bersama oleh Ikhtisas Kepimpinan Kamarazaman dan Kursi Pengajian Melayu dan Ketamadunan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Thai Global Business Administration Technological College (TGBC).
Beliau memberitahu, tema Peradaban Melayu Mewajah Dunia bertepatan dengan objektif PABMM iaitu memastikan bahasa Melayu terus dimartabatkan di peringkat antarabangsa.
"Simposium selama satu hari ini akan turut diserikan dengan Malam Puisi Mengukir Bangsa. Puisi memainkan peranan penting sebagai wadah pembinaan identiti dan jati diri.
"Ia menjadi medium untuk menyuarakan semangat perjuangan, nilai kemanusiaan dan aspirasi rakyat.
"Puisi juga merupakan warisan budaya yang perlu dipelihara kerana di dalamnya tersimpan sejarah, bahasa, dan kebijaksanaan nenek moyang yang membentuk sesebuah bangsa," jelasnya.
Kamarazaman turut memaklumkan bahawa simposium dan malam puisi yang telah memasuki edisi kelima ini masih mengekalkan kerjasama bersama Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia, Universiti Indonesia serta Pejabat Urusetia Bekas Perdana Menteri Kesembilan.
"Selain itu, seperti sebelum ini ia juga melibatkan penyertaan daripada luar negara antaranya Korea, Singapura, China, Afrika," ulasnya.