Anak luah perasaan di Tik Tok, Betty Banafe pertahan hak anak bersuara

Iklan
Betty Banafe (kanan) ketika muncul bersama Julia (tengah) dalam podcast Pop Family bertajuk “Bila parents berpisah: Apa Anak Rasa?”.

KUALA LUMPUR – Pelakon, Betty Banafe menegaskan bahawa kanak-kanak mempunyai hak untuk bersuara dan didengari, khususnya apabila melibatkan emosi serta kesejahteraan mental susulan luahan perasaan dikongsikan anaknya menerusi beberapa video di TikTok yang tular baru-baru ini.

Menurutnya, tiada sebarang akta yang melarang kanak-kanak daripada menyatakan perasaan, malah mereka berhak hidup dalam suasana harmoni serta selamat.

Iklan
Iklan

"Anak-anak ada hak untuk didengari. Tiada siapa boleh menghalang mereka bersuara kecuali jika perkara itu jelas salah. Namun jika ia melibatkan perasaan, ia penting kerana membentuk mental dan cara mereka berfikir.

"Jadi, mereka ada hak menyatakan apa yang membuatkan mereka cemas, takut atau terseksa. Kita perlu patuh dan peka dalam proses pembesaran ini, jangan bertindak sesuka hati kerana kanak-kanak mempunyai hak untuk bersuara,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, Betty Banafe muncul bersama anak sulungnya Julia Claire Dargus dalam podcast Pop Family bertajuk “Bila parents berpisah: Apa Anak Rasa?”.

Baru-baru ini, Julia berkongsi dua video termasuklah dakwaan menjadi mangsa manipulasi emosi bapanya, selain meluahkan rasa penat susulan kemelut berpanjangan melibatkan ibu bapanya, sekali gus mahukan kehidupan harmoni dan tenang seperti keluarga lain.

Iklan

Hantaran terbabit dimuat naik Julia selepas tular sebuah video memaparkan bekas suami Betty hadir ke kediaman pelakon itu bersama peguam bagi urusan melibatkan anak mereka sehingga mencetuskan perhatian ramai.

Mengulas lanjut, Betty menegaskan bahawa sebagai ibu, beliau tidak akan berundur dalam memperjuangkan kebajikan anak-anaknya meskipun berdepan cabaran.

"Perjuangan ini tidak akan terhenti. Anak-anak menjadi pembakar semangat untuk saya terus bersuara dan mempertahankan hak mereka,” ujarnya.

Betty Banafe turut menasihatkan agar semua pihak, termasuk bekas pasangan mendapatkan bantuan profesional seperti terapi bagi memperbaiki keadaan dan mencapai penyelesaian yang lebih baik.

"Saya berharap semua pihak boleh berdamai dengan takdir dan mendapatkan bantuan seperti terapi. Jangan malu untuk cari jalan penyelesaian," ujarnya.

Dalam pada itu, pelakon terbabit turut menyeru ibu bapa agar tidak membiarkan konflik memberi kesan negatif kepada anak-anak.

"Jangan buat sesuatu sesuka hati kerana anak-anak akan terkesan. Pastikan mereka membesar dalam persekitaran yang sihat dan positif," tambahnya.

Untuk rekod, Betty mendirikan rumah tangga dengan Bruce pada 8 Disember 2012 sebelum bercerai pada 10 Julai 2019.

Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Julia,13, dan Bruce Dean Dargus, 10.