MERSING - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) memperluaskan projek Smart Eco-PV Boat dengan pemasangan sistem solar fotovoltan (PV) pada bot nelayan bagi membantu komuniti pesisir pantai di Penyabong, di sini.
Melalui cabang kewangan sosialnya, Sadaqa House, inisiatif ini direalisasikan dengan kerjasama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan sokongan Lembaga Tabung Haji, selaras dengan usaha Bank Islam untuk memperkukuh agenda kelestarian serta keterangkuman kewangan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Islam, Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz berkata, inisiatif ini mencerminkan keyakinan Bank Islam bahawa kelestarian perlu diterjemahkan kepada manfaat yang boleh diukur dan dirasai oleh komuniti.
“Ia sekali gus jelas membuktikan komitmen Bank Islam dalam mengintegrasikan pembiayaan lestari secara langsung ke dalam aktiviti penjanaan pendapatan yang produktif,”katanya.
Beliau menambah bahawa pencapaian ini amat signifikan kerana ia menandakan pelaksanaan pertama sistem solar PV yang direka khas untuk bot nelayan, berbeza daripada aplikasi penggunaan kediaman.
Disokong melalui kerjasama strategik bersama UTM, pendekatan ini membolehkan Bank Islam menggabungkan dana dengan kepakaran teknikal serta pembangunan kapasiti bagi menghasilkan impak dunia sebenar yang berskala, pada masa yang sama mempercepatkan peralihan tenaga negara dan menyokong pembangunan sosioekonomi yang lebih inklusif.
Sementara itu, Pengarah Kewangan Sosial Bank Islam, Mohd Zikri Mohd Shairy berkata, pada kali ini, sebanyak 25 bot nelayan dilengkapi sistem solar PV dengan melibatkan peruntukan bernilai hampir RM150,000.
“Sistem yang dipasang ini mampu memberikan penjimatan antara RM150 hingga RM200 sebulan dalam kos diesel yang digunakan untuk menghidupkan peralatan elektrik bot mereka seperti GPS, lampu dan pam air ketika berada di laut.
“Penjimatan ini seterusnya akan membantu memperkukuhkan kestabilan pendapatan nelayan-nelayan ini, di samping menyumbang kepada penurunan tahap pelepasan karbon, meningkatkan kecekapan operasi serta menggalakkan penggunaan tenaga yang lebih selamat dan mampan yang mampu menyokong pemuliharaan laut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Projek Naik Taraf Bot Nelayan dengan Penggunaan Teknologi Solar PV di Jeti Penyabong di sini, pada Isnin.
Majlis telah dirasmikan oleh Ketua Pegawai Operasi Kumpulan dan Ketua Pegawai Kelestarian Kumpulan Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff bersama Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM, Profesor Dr Jafri Din.
Menurut Mohd Zikri, kos pemasangan sistem solar PV itu dianggarkan bernilai antara RM6,000 hingga RM7,000 bagi setiap bot, termasuk penggunaan bateri litium yang mempunyai jangka hayat lebih panjang berbanding bateri biasa.
“Inisiatif ini turut memberi peluang pemindahan ilmu dan keupayaan memanfaatkan teknologi tenaga boleh diperbaharui kepada komuniti nelayan,”katanya.
Selain itu, Bank Islam turut menerapkan inisiatif pemerkasaan perusahaan mikro milik usahawan wanita dalam kalangan keluarga nelayan serta menambah baik infrastruktur perkongsian kerja nelayan dengan memasang atap bumbung (awning) di bangunan stor jeti lama bagi mewujudkan ruang yang lebih selamat dan cekap untuk penyimpanan, pengurusan serta pembaikan sangkar ikan. Kemudahan yang dinaik taraf ini akan memberi manfaat kepada 105 ahli Persatuan Nelayan Penyabong.
Selain manfaat langsung kepada masyarakat setempat, projek ini berperanan sebagai platform praktikal bagi pemindahan ilmu dan pembelajaran secara guna tangan (hands-on) untuk kira-kira 180 sukarelawan terdiri daripada pensyarah dan pelajar daripada 13 institusi pengajian tinggi tempatan termasuk politeknik, kolej komuniti dan institusi teknikal dari Johor, Negeri Sembilan, Kedah, Pahang serta Selangor yang terlibat dalam pemasangan panel solar di semua bot terbabit.
Mohd Zikri memaklumkan, Bank Islam melalui Sadaqa House menyasarkan untuk memperluaskan projek serupa ke kawasan-kawasan perkampungan nelayan lain dengan melibatkan golongan B40 dan asnaf.
"Satu lagi projek dijangka dilaksanakan di Selangor menjelang hujung tahun ini," katanya.