PUTRAJAYA - Pelaksanaan dasar bekerja dari rumah (BDR) dalam sektor awam yang memasuki minggu kedua mula menunjukkan hasil awal apabila mencatatkan penjimatan penggunaan petrol sebanyak 334,000 liter RON95 bersamaan RM678,000.
Jurucakap Kerajaan, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam mesyuarat jemaah menteri dengan status seramai 150,500 penjawat awam telah mendaftar di bawah program tersebut sejak ia dilaksanakan 15 April lalu.
Iklan
Iklan
"Tan Sri KSN juga telah diingatkan untuk berusaha mendapatkan maklumat daripada sektor swasta mengenai pelaksanaan bekerja dari rumah bagi sektor tersebut bagi melihat secara keseluruhan penjimatan yang berjaya diperoleh," katanya pada sidang akhbar mingguan pasca mesyuarat Kabinet, di sini pada Rabu.
Sebelum ini kerajaan mengumumkan pelaksanaan dasar itu sebagai langkah mendepani krisis tenaga global berikutan perang Asia Barat yang memberi kesan rantaian kepada dunia.
Pelaksanaan dasar BDR itu membabitkan kementerian, agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan.
Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mengingatkan agensi kerajaan memberi keutamaan terhadap langkah- langkah memastikan bekalan bahan bakar dapat dilanjutkan.
Ia termasuk dengan melaksana lebih banyak mesyuarat secara dalam talian dan mengurangkan mesyuarat secara bersemuka.