Semak Akta 522 demi jamin bekalan beras negara - CAKE

Iklan
Mohamad Yusrizal

SHAH ALAM – Tiga langkah iaitu semakan Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), penilaian semula harga padi dan beras serta kebebasan pemilihan benih dikenal pasti sebagai pendekatan penting bagi memastikan bekalan makanan negara terus stabil, terutamanya ketika berdepan krisis global.

Presiden Persatuan Pengguna Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, langkah terbabit perlu diberi perhatian bagi menyelesaikan isu padi dan seterusnya menjamin keterjaminan makanan negara.

Iklan
Iklan

“Kita ada beberapa solusi untuk menyelesaikan masalah padi ini bagi menjaga keterjaminan makanan negara, disebabkan wujud kartel beras, kartel benih, baja dan sebagainya.

“Kita perlu menyemak semula dasar berkaitan harga siling padi dan beras di bawah Akta 522 kerana permasalahan hari ini berpunca daripada akta tersebut yang menyebabkan pesawah tidak boleh menjual hasil mereka sendiri, malah tidak dibenarkan menyimpannya.

Iklan

“Perkara tersebut perlu dikaji semula kerana di Kedah baru-baru ini, Exco Pertanian menyatakan Kedah mampu mengeluarkan beras sendiri tetapi disekat oleh Akta 522,” katanya dalam forum meja bulat bertajuk Krisis Tenaga dan Kelestarian Subsidi: Apa Nasib Rakyat Marhaen yang berlangsung di sini pada Khamis.

Forum yang dikendalikan oleh hos merangkap personaliti televisyen, Ismail Adnan itu turut menampilkan barisan panel terdiri daripada Profesor Adjung Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (GSB) UKM, Ir Dr Mohd Shahreen Zainoreen Madros dan Naib Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM), Datuk Dr Ramli Tahir.

Iklan

Menurut Mohamad Yusrizal, selain semakan terhadap akta berkenaan, kerajaan juga perlu menilai semula harga siling padi dan beras yang dilihat tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.

Jelas beliau, harga beras tempatan yang terlalu lama dikekalkan pada kadar rendah telah menyekat peningkatan harga jualan padi, sekali gus menekan pendapatan pesawah.

“Harga beras itu terlalu lama berada pada RM2.60 sekilogram dan hari ini pengguna sudah tidak dapat menikmati harga tersebut hingga terpaksa membeli beras import pada harga lebih tinggi.

“Kita membeli pada RM36, RM37 dan ada yang mencecah RM40 bagi beras import, tetapi beras tempatan masih dijual pada harga lama. Jadi situasi itu telah menyekat kenaikan harga jualan padi mereka,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya pesawah diberikan kebebasan dalam pemilihan serta menghasilkan benih sendiri bagi meningkatkan kualiti dan mengurangkan kos.

“Berilah kebebasan kepada pesawah untuk memilih benih dan mengeluarkan benih sendiri kerana benih tersebut berada di bawah kawalan agensi tertentu dan ada antaranya tidak berkualiti, sekali gus menyebabkan penggunaan baja meningkat.

“Apabila penggunaan baja meningkat dan berlaku krisis Asia Barat ketika ini, harga baja turut meningkat, sekali gus menyebabkan kos pesawah bertambah,” tambah beliau.

Katanya, peranan agensi seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) boleh diperkasa bagi mengawal selia benih tanpa mengekang usaha pesawah menghasilkan benih sendiri.

“Dengan itu, kita dapat menghasilkan varieti atau kepelbagaian beras tempatan yang lebih baik. Inilah yang kita cadangkan kepada kerajaan bagi menyelesaikan masalah pesawah dan memastikan keterjaminan makanan negara.

“Apabila berlaku krisis, apa jua krisis, kita mempunyai bekalan beras sendiri,” katanya.