Bekalan makanan berkurangan, tentera AS terpaksa catu makanan

Iklan
Menu makanan dikongsikan seorang anggota kepada keluarga. Foto USA Today

WASHINGTON - Anggota tentera Amerika Syarikat (AS) yang ditempatkan di Asia Barat susulan konflik perang Iran dilaporkan berdepan kekurangan bekalan makanan, sehingga memaksa sebahagian anggota mencatu hidangan dan menahan lapar dalam tempoh operasi berpanjangan.

Menurut The Independent yang memetik laporan USA Today, situasi itu turut diburukkan apabila perkhidmatan penghantaran oleh United States Postal Service (USPS) ke kawasan operasi dihentikan hingga menyebabkan bungkusan makanan daripada keluarga tidak dapat disampaikan.

Iklan
Iklan

Seorang anggota Tentera Laut yang ditempatkan di kapal serangan amfibia USS Tripoli memaklumkan kepada keluarganya bahawa bekalan makanan semakin berkurangan.

"Bekalan akan menjadi sangat rendah... moral akan berada pada tahap paling rendah," katanya dalam mesej kepada ibunya.

Iklan

Lebih 50,000 anggota tentera AS kini ditempatkan di Asia Barat, termasuk ribuan marin dan pelaut yang bertugas di kapal perang di Selat Hormuz.

Beberapa kapal dilaporkan tidak berlabuh sejak konflik tercetus pada akhir Februari lalu.

Iklan

Laporan turut mendedahkan, gambar dihantar seorang anggota marin kepada bapanya menunjukkan hidangan makan tengah hari sangat terhad dengan hanya sedikit daging cincang dan sekeping tortilla.

Lelaki berusia 63 tahun dikenali sebagai Dan F. itu menyifatkan keadaan tersebut sebagai tidak wajar.

"Kita mempunyai tentera paling kuat di dunia. Tidak sepatutnya kehabisan makanan," ujarnya.

Selain itu, pastor di West Virginia, Karen Erskine-Valentine turut meluahkan kebimbangan selepas dimaklumkan bahawa anggota di kapal induk USS Abraham Lincoln berdepan masalah sama.

"Makanan tidak sedap, tidak mencukupi dan mereka sentiasa lapar," kongsinya.

Jurucakap Pentagon tidak memberikan sebarang maklum balas segera terhadap permintaan komen daripada The Independent.

Sementara itu, Pengerusi Ketua Turus Bersama, Dan Caine berkata, anggota tentera AS yang terlibat dalam operasi perang telah mengambil lebih enam juta hidangan makanan, lebih 950,000 gelen kopi dan lebih dua juta minuman tenaga setakat awal bulan ini.

Menurutnya, anggota turut bergantung kepada penggunaan nikotin dalam jumlah yang tinggi.

"Saya tidak mengatakan kita ada masalah," katanya sambil berseloroh.

Dalam usaha membantu, ahli keluarga dilaporkan membelanjakan ribuan dolar untuk menghantar bungkusan makanan seperti biskut, coklat dan bar protein.

Bagaimanapun, semua penghantaran tergendala susulan penutupan ruang udara dan gangguan logistik akibat konflik.

Jurucakap tentera memaklumkan, penghantaran pos hanya akan disambung semula selepas keadaan logistik dan keselamatan kembali stabil.