BENGALURU - Seorang lelaki bertindak kejam mencampakkan ibu kandungnya yang terlantar sakit dari tingkat empat sebuah bangunan kediaman, menyebabkan mangsa maut serta-merta dalam kejadian di BEML Layout, RR Nagar, pada Rabu lalu.
The Times Of India melaporkan, kejadian itu melibatkan suspek dikenali sebagai Venkatesh yang kini ditahan polis bagi membantu siasatan kes bunuh ibunya, Savitramma,75.
Menurut polis, mangsa yang lumpuh akibat serangan strok sejak lima tahun lalu berada dalam keadaan terlantar dan bergantung sepenuhnya kepada anaknya untuk penjagaan harian.
Dalam pengakuan awal kepada pihak berkuasa, suspek mendakwa tekanan hidup serta kesukaran menanggung kos rawatan ibunya menjadi punca utama tindakannya.
"Sejak ayah meninggal dunia kira-kira 10 tahun lalu, saya menjaga ibu.
"Keadaannya semakin teruk selepas diserang strok. Saya terpaksa berhenti kerja untuk menjaganya dan kehidupan menjadi semakin sukar," katanya.
Polis memaklumkan, siasatan awal mendapati, pada hari kejadian, suspek dipercayai mengangkat ibunya dari rumah mereka di tingkat satu sebelum membawa mangsa ke tingkat empat dan menolaknya jatuh.
Pemilik rumah yang tinggal di tingkat bawah memaklumkan terdengar bunyi hentakan kuat kira-kira jam 3 petang sebelum menemui mangsa dalam keadaan tidak bernyawa.
Suspek kemudian pulang ke rumah dan mengunci diri sebelum ditahan polis susulan laporan dibuat oleh pemilik premis.
Menurut pegawai penyiasat, isteri suspek yang bekerja sebagai pembantu di klinik tiada di rumah ketika kejadian.