JASIN - Pemandu bas ekspres yang tular bersama seorang wanita duduk di atas ribanya ketika memandu tampil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin pada Rabu bagi memberi keterangan berhubung insiden berkenaan.
Lelaki berusia 36 tahun itu hadir bersama wanita terbabit sekitar jam 4.30 petang dengan menaiki sebuah Proton Persona.
Difahamkan, lelaki tersebut merupakan suami orang, manakala identiti wanita berkenaan masih belum dikenal pasti.
Kedua-dua mereka dilihat memakai pelitup muka, sementara pemandu bas itu turut mengenakan topi ketika tiba di IPD Jasin.
Sebelum ini, pasangan berkenaan dipanggil bagi membantu siasatan susulan video tular memaparkan wanita duduk di atas riba pemandu ketika kenderaan sedang bergerak.
Terdahulu Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Jasin telah membuka kertas siasatan berhubung rakaman video berdurasi lapan saat yang tersebar di Facebook itu.
Menurutnya, video tersebut menunjukkan seorang pemandu bas ekspres memandu sambil memangku seorang wanita ketika kenderaan berada di Lebuh Raya Utara-Selatan dalam daerah Jasin.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku pada Ahad lalu sekitar jam 7.30 malam di susur masuk kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Bemban arah selatan.
Beliau berkata, perbuatan itu amat berbahaya kerana boleh menjejaskan kawalan kenderaan, mengganggu tumpuan pemandu serta membahayakan keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain.
Kes disiasat di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Berdasarkan perkongsian di Facebook, bas ekspres itu dipercayai dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) menuju ke Kulai, Johor ketika kejadian dirakam.
Susulan penularan video tersebut, syarikat Sri Maju Group dilaporkan telah menamatkan perkhidmatan pemandu berkenaan.
Selain itu, Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) turut mengambil keterangan daripada pemandu terbabit bagi tindakan lanjut.