NEW DELHI - Sekurang-kurangnya 10 pekerja maut selepas dandang dalam loji jana kuasa meletup di Chhattisgarh pada Selasa, lapor India Today.
Letupan berlaku sekitar jam 2.30 petang di loji tenaga milik Vedanta di Kampung Singhitarai dalam Daerah Sakti.
Pihak berkuasa mengesahkan seramai 33 pekerja cedera dalam letupan tersebut dengan 23 daripadanya berada dalam keadaan kritikal dan sedang menerima rawatan.
Tambahnya, empat pekerja maut di lokasi kejadian manakala enam lagi meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital.
Menurut laporan, insiden itu dipercayai berpunca daripada dandang yang menjana haba sekitar 600 darjah Celsius yang mengakibatkan kecederaan melecur serius dalam kalangan pekerja di lokasi kejadian.
Bagaimanapun pihak berkuasa kini sedang berusaha mengenal pasti punca sebenar kejadian.
Ketua Menteri, Vishnu Deo Sai menyifatkan insiden itu sebagai menyayat hati serta merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban.
Beliau turut mengarahkan agar rawatan perubatan segera diberikan dan menegaskan bahawa tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang didapati bertanggungjawab.
Sehingga 31 Januari 2026, Chhattisgarh mempunyai sebanyak 7,324 kilang kerajaan dan swasta yang masih beroperasi.
Daripada jumlah itu, 948 dikategorikan berbahaya manakala 32 lagi sebagai sangat berbahaya.