Pas bimbang retorik Singapura mengenai Iran, 'operasi Hamas'

Iklan

SHAH ALAM - Pas menyuarakan kebimbangan serius terhadap kenyataan seorang menteri dari Singapura yang mendakwa Iran serta proksinya terlibat dalam aktiviti keganasan, selain mencadangkan kemungkinan wujud rangkaian termasuk 'operasi Hamas' di negara jiran.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, dakwaan secara terbuka tanpa bukti sokongan jelas itu berisiko menimbulkan persepsi negatif terhadap negara serantau yang telah lama membangunkan kerjasama keselamatan dan antikeganasan.

Iklan
Iklan

Beliau turut mempersoalkan naratif yang digunakan dalam menggambarkan konflik Asia Barat ketika ini, khususnya apabila ia dilihat selari dengan kepentingan geopolitik tertentu dan pada masa sama membayangkan kemungkinan kehadiran militan di rantau Asia Tenggara.

"Negara-negara di Asia Tenggara secara konsisten menunjukkan ketahanan terhadap ekstremisme melalui perkongsian risikan dan mekanisme keselamatan yang diselaraskan.

Iklan

"Cadangan secara terbuka bahawa operasi militan asing mungkin berada di negara jiran berisiko menjejaskan rekod ini serta meningkatkan ketegangan serantau yang tidak perlu. Pada ketika ini, kestabilan, diplomasi dan usaha meredakan ketegangan amat diperlukan.

"Justeru, Pas menggesa pihak berkenaan agar berhati-hati dalam penyampaian mesej keselamatan kepada umum, khususnya apabila kenyataan sedemikian mempunyai implikasi terhadap negara jiran serta hubungan serantau," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Takiyuddin menambah, kesiapsiagaan keselamatan sememangnya penting, namun komunikasi yang bertanggungjawab mesti diutamakan bagi memelihara kepercayaan dan kestabilan rantau ini.

Media sebelum ini melaporkan, Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara merangkap Menteri Ehwal Dalam Negeri Singapura, K Shanmugam mendakwa Iran serta proksinya terlibat dalam aktiviti keganasan.