IPOH - Kementerian Kewangan perlu meningkatkan ketelusan dalam mekanisme penetapan harga bahan api dengan mendedahkan harga pasaran sebenar diesel dan RON97 kepada rakyat.
Ahli Parlimen Kampar, Chong Zhemin berkata, pendedahan itu wajar dibuat bersama pengumuman harga mingguan bahan api setiap hari Rabu bagi membolehkan rakyat memahami dengan lebih jelas struktur harga serta beban subsidi yang ditanggung kerajaan.
Menurutnya, meskipun harga runcit diesel dilihat meningkat, realitinya kerajaan masih menanggung subsidi yang besar berdasarkan harga industri semasa, namun perkara itu tidak dijelaskan secara menyeluruh kepada umum.
“Tanpa pendedahan harga pasaran sebenar, rakyat tidak dapat memahami sepenuhnya skala subsidi yang ditanggung serta tahap keseriusan cabaran fiskal negara,” katanya dalam kenyataan kepada Sinar Harian pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa kementerian mendedahkan jumlah terkini subsidi bulanan bagi petrol dan diesel yang didakwa meningkat secara mendadak sejak kebelakangan ini.
Katanya, jumlah subsidi dilaporkan meningkat daripada sekitar RM700 juta kepada RM3.2 bilion pada 22 Mac, sebelum mencecah RM4 bilion dalam tempoh lima hari seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Berdasarkan peningkatan harga minyak global ketika ini, angka subsidi sebenar dipercayai telah melebihi RM4 bilion,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, sekiranya angka RM4 bilion itu diunjurkan secara tahunan, jumlah keseluruhan subsidi boleh mencecah sehingga RM48 bilion setahun, sekali gus menimbulkan persoalan besar terhadap keupayaan kerajaan menampung beban tersebut.
“Bagaimanakah kerajaan akan membiayai subsidi sebesar ini? Adakah ia akan meningkatkan defisit fiskal negara? Rakyat berhak mendapat penjelasan yang telus,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut menegur kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr. Muhamad Akmal Saleh yang disifatkan sebagai mengelirukan berhubung mekanisme penetapan harga bahan api.
Tambahnya sebagai seorang Exco negeri, beliau sepatutnya memainkan peranan membantu kerajaan memberi penjelasan tepat kepada rakyat, bukan mengeluarkan kenyataan berunsur populis.
"Isu ini bukan permainan politik. Skala subsidi bahan api memberi implikasi besar terhadap kewangan negara, kelestarian fiskal serta kestabilan ekonomi jangka panjang.
“Pemimpin perlu jujur dalam menjelaskan kompromi yang terpaksa dibuat dan memastikan rakyat memahami realiti sebenar yang dihadapi negara,” katanya.