Kutipan Tabung CovidSinar cecah RM551,397

Iklan
Sukarelawan CovidSinar menyelaras barang-barang yang diterima di pusat operasi dan pengumpulan Tabung CovidSinar di Kumpulan Karangkraf, Shah Alam.

SHAH ALAM - Kutipan Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 Sinar Harian (CovidSinar) kini mencecah sebanyak RM551,397.68 sehingga jam 5 petang tadi sejak dilancarkan dua minggu lalu.

Penyelaras Tabung CovidSinar, Auzani Fikry berkata, sehingga kini Tabung CovidSinar telah mengeluarkan perbelanjaan sebanyak RM327,054.00 untuk membeli barangan keperluan petugas-petugas kesihatan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, antara barangan yang menjadi keutamaan bagi memastikan petugas kesihatan sentiasa berada dalam keadaan selamat ketika mengendalikan kes wabak koronavirus (Covid-19) termasuklah peralatan perlindungan peribadi (PPE), topeng muka, sarung tangan, cecair basmi kuman, infrared thermometer, boots cover dan isolation gown.

"Sejak Tabung CovidSinar dilancarkan, kita berjaya menyalurkan hampir 10,000 PPE, sebanyak 50,000 topeng muka, sarung tangan (165,000), cecair basmi kuman (1,800 liter), infrared thermometer (70 unit), isolation gown (500), boots cover (3,000) dan sebanyak 18 buah khemah.

Iklan

"Kesemua barangan keperluan itu telah diagihkan kepada lebih 10 klinik kesihatan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur termasuk di zon merah serta lokasi yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mengulas lanjut, Auzani mengakui pihaknya masih memerlukan barangan keperluan untuk petugas-petugas kesihatan terutama PPE dan kelengkapan yang lain.

Auzani

Iklan

Menurutnya, mereka memerlukan sekurang-kurangnya sebanyak 10,000 PPE lagi berdasarkan perkembangan semasa kes positif Covid-19 di Malaysia.

"Sehubungan itu, kami berharap rakyat Malaysia teruslah bersama-sama menghulurkan sumbangan untuk Tabung CovidSinar bagi membantu wira petugas barisan hadapan terutama kakitangan pejabat kesihatan daerah dan klinik kesihatan yang memerlukan bantuan.

"Pada masa yang sama, kami juga merakamkan jutaan terima kasih kepada barisan sukarelawan Tabung CovidSinar yang sentiasa bekerja keras membantu melancarkan lagi misi-misi bantuan sejak hari pertama tabung ini dilancarkan,” kata beliau.

Petugas kesihatan di Klinik Kesihatan Seksyen 19, Shah Alam memakai peralatan yang disumbangkan oleh rakyat Malaysia menerusi Tabung CovidSinar.

Sinar Harian mengaktifkan Tabung CovidSinar bagi membolehkan rakyat Malaysia tampil bersama-sama mengumpulkan dana untuk kelengkapan perlindungan diri petugas kesihatan, sekali gus membantu meringankan beban kumpulan berkenaan dalam usaha memerangi Covid-19.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025.

Sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan menerusi talian 019-6680920 (pesanan ringkas WhatsApp sahaja).