Lelaki maut ditetak: Pergaduhan tiada kaitan isu perkauman

Iklan
Noor Hisam

IPOH - Insiden pergaduhan yang mengorbankan seorang lelaki dipercayai dibunuh di Taman Rishah dekat Buntong, Isnin lepas tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, siasatan awal dijalankan mengesahkan, pergaduhan tersebut lebih menjurus kepada konflik antara kumpulan.

Iklan
Iklan

“Ini bukan isu perkauman, sebaliknya pergaduhan kumpulan. Siasatan masih dijalankan dan kita tidak boleh dedahkan terlalu banyak maklumat buat masa ini.

“Kes ini sensitif dan kita minta supaya laporan dibuat dengan tepat kerana ia tidak melibatkan isu kaum,” katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Penutup Seminar Pemerkasaan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Kontinjen Perak di Dewan Bankuet Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Bandar Meru Raya di sini pada Selasa.

Noor Hisam (tengah) ketika hadir menyempurnakan majlis penutup Seminar Pemerkasaan Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Kontinjen Perak di Dewan Bankuet Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN), Bandar Meru Raya pada Selasa.

Iklan

Menurut Noor Hisam, setakat ini seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun yang bekerja sebagai penjaga premis kereta sewa telah ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.

"Kita harap proses soal siasat dan interogasi yang dijalankan dapat memberikan petunjuk baharu bagi menyelesaikan kes ini," katanya.

Beliau berkata, dua rakan mangsa yang cedera dalam kejadian itu masih menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh dan berada dalam keadaan stabil.

“Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk memantau keadaan mereka kerana mereka juga saksi dalam kes ini,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.10 malam itu, seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas dipercayai ditetak menggunakan senjata tajam.

Siasatan awal mendapati mangsa berada di sebuah premis kereta sewa bersama rakan-rakannya sebelum didatangi sekumpulan suspek yang menyerang menggunakan parang.

Kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, selain Seksyen 326 dan 148 kanun sama kerana mendatangkan kecederaan parah serta merusuh.

Sementara itu, pelaksanaan Seminar Pemerkasaan PPS yang melibatkan kerjasama Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) serta Jabatan Pendidikan Negeri itu dilaksanakan bagi memperkukuh usaha pencegahan jenayah dalam kalangan pelajar.

Noor Hisam berkata, sehingga kini, seramai pegawai polis dilantik sebagai PPS melibatkan 1,104 sekolah rendah dan menengah di seluruh negeri ini dengan peranan sebagai penghubung strategik antara pihak sekolah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Isu salah laku disiplin dan jenayah dalam kalangan pelajar dilihat semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini.

“Maka, pendekatan pencegahan adalah kunci utama. Isu kecil yang dikenal pasti lebih awal mampu mengelakkan kejadian lebih serius pada masa hadapan,” katanya.