SHAH ALAM - Mandiri menuntut kebebasan segera ketiga-tiga aktivis yang ditahan pihak berkuasa ketika menyampaikan bantahan di program Wacana Ilmiah Perdana Bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Asia e University di Trade Centre Kuala Lumpur (WTC KL) pada hari ini.
Kordinator Mandiri, Wong Kukui berkata, ketiga-tiga mereka hadir bagi menyampaikan bantahan secara aman dan senyap terhadap isu integriti Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Menurut beliau, ia khususnya berhubung kontroversi pemilikan saham dan isu korporat mafia SPRM.
"Mandiri mengecam sekeras-kerasnya tindakan pihak berkuasa menahan tiga orang aktivis Sekretariat #TangkapAzamBaki, termasuk dua orang koordinator Mandiri serta seorang aktivis mahasiswa yang hadir ke program tersebut.
"Mereka sepatutnya hentikan segala bentuk intimidasi terhadap aktivis dan mahasiswa," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sebelum ini, suasana tenang pada Wacana Ilmiah Perdana di Dewan Tun Dr Ismail, WTCKL bertukar kecoh apabila sekumpulan individu melakukan protes secara tiba-tiba petang tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2.40 petang itu, dua lelaki dilihat mengangkat kertas mahjong yang tertera tulisan ‘Tangkap Azam Baki’ dan ‘Azam Baki Simbol Reformati’ ketika ucaptama sedang berlangsung.
Tindakan tersebut dilakukan ketika Ketua SPRM sedang menyampaikan ucapan pada program berkenaan.
Situasi menjadi semakin tegang apabila seorang lelaki berbaju-T hitam bertulis ‘Pusat Pembangunan Rakyat (Mandiri)’ dilihat bertikam lidah dengan pegawai bertugas.
Difahamkan, kesemua individu terlibat kemudiannya ditahan dan dibawa keluar dari dewan oleh pihak bertugas bagi meredakan keadaan.
Tambah Kukui, lebih mendesak, Mandiri berpandangan bahawa individu yang wajar ditangkap dan disiasat adalah Azam Baki sendiri, bukannya rakyat yang menuntut akauntabiliti.
"Bebas segera! Tangkap Azam Baki," ujarnya.