IPOH - Kerajaan Perak memberi jaminan tiada lagi mana-mana laluan perkhidmatan bas henti-henti di negeri ini akan ditamatkan, kata Exco Infrastruktur, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.
Beliau berkata, langkah itu termasuklah di laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik yang sebelum ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pengguna susulan penamatan operasi.
"Kita ambil maklum keresahan pengguna khususnya pelajar yang bergantung kepada perkhidmatan bas ini untuk ke sekolah.
"Oleh itu kerajaan negeri pastikan tiada laluan yang akan ditamatkan dalam masa terdekat ini," katanya kepada pemberita sempena Majlis Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rapat di Padang Taman Lapangan Jaya di sini pada Ahad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rapat itu berkata, bagi memastikan kelangsungan pengangkutan awam kepada rakyat terus terpelihara, kerajaan negeri merancang pembukaan laluan baharu meliputi kawasan Kampar dan Gopeng.
Katanya, cadangan laluan baharu itu melibatkan laluan Tanjung Tualang, Kampung Timah, Tronoh Mines, Gopeng, Kopisan hingga ke Kampar, namun masih menunggu kelulusan daripada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
"Laluan ini penting kerana melibatkan sekurang-kurangnya lima sekolah di sepanjang kawasan berkenaan yang memerlukan perkhidmatan bas.
"Sekiranya diluluskan, kita akan berbincang mengenai pelaksanaan termasuk aspek pengendalian dan formula subsidi yang sesuai," katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Nizar berkata, kerajaan negeri kini sedang meneliti semula formula subsidi yang lebih sesuai, praktikal dan mampan bagi mengimbangi kos operasi yang perlu ditanggung syarikat pengendali perkhidmatan bas.
Katanya, cabaran utama yang dihadapi pengendali syarikat adalah kekurangan subsidi selain jumlah penumpang yang tidak menepati sasaran sehingga menyebabkan kerugian berterusan.
"Kita mahu satu penyelesaian menang-menang supaya kerajaan dapat membantu tanpa membebankan kewangan negeri, manakala pengendali pula mampu meneruskan perkhidmatan tanpa mengalami kerugian," jelasnya.
Mengulas gangguan perkhidmatan dari Kuala Kangsar, Lenggong hingga Gerik sebelum ini, beliau menjelaskan, perkara itu susulan tamat tempoh perkhidmatan pada 31 Mac lalu, selain ketiadaan keputusan lanjut ketika itu berhubung penyambungan operasi.
“Sepatutnya pengguna, khususnya pelajar, dapat menikmati perkhidmatan ini tanpa gangguan. Namun disebabkan tempoh perkhidmatan yang dibenarkan telah tamat dan tiada keputusan ketika itu, operasi terpaksa dihentikan sementara mengikut perjanjian.
“Bagaimanapun, Yang Amat Berhormat Menteri Besar telah memberi kepastian bahawa perkhidmatan bas henti-henti di laluan tersebut diteruskan dan beroperasi seperti biasa,” katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan rayuan penduduk di sekitar Lenggong agar perkhidmatan bas henti-henti bagi laluan Kuala Kangsar- Lenggong-Gerik dikembalikan segera selepas ia ditamatkan pada 1 April lepas.
Penamatan tersebut menjejaskan kehidupan harian pelbagai lapisan masyarakat terutama warga emas dan golongan berpendapatan rendah yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk urusan bekerja, mendapatkan rawatan dan ke sekolah.