JELI – Pembinaan masjid di Maahad Tahfiz Al-Quran Lembah Pergau di Bukit Tapis, Kampung Jerimbong, Kuala Balah di sini giat dijalankan sebagai usaha memperkasa kemudahan ibadah dan pendidikan Islam di kawasan berkenaan.
Pengerusi Maahad Tahfiz Al-Quran Lembah Pergau, Kameruzaman Ab Rahman berkata, projek berkenaan bermula sejak pertengahan 2022 dan masih dalam pembinaan.
Iklan
Iklan
“Bagi merealisasikan hasrat ini, pihak maahad turut membuka peluang kepada masyarakat untuk bersama-sama menyumbang melalui konsep wakaf.
“Penyertaan wakaf dibuka serendah RM20 bagi satu lot sebagai usaha menggalakkan lebih ramai terlibat dalam pembangunan institusi ini,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Beliau berkata, pembinaan masjid tersebut memerlukan peruntukan keseluruhan sebanyak RM1.4 juta dan usaha pengumpulan dana masih diteruskan.
“Masjid berkenaan dijangka menjadi pusat aktiviti keagamaan dan pembelajaran al-Quran bagi pelajar serta komuniti setempat apabila siap sepenuhnya,” ujarnya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian ke akaun Maybank bernombor 553056414773 atas nama Madrasah Tahfiz Lembah Pergau atau menghubungi Muhammad Baihaqi di talian 014-5305331.