Padah cuba lari, dua lelaki diberkas bersama dadah, peralatan curi kabel

Iklan
Bantuan beberapa unit polis lain berjaya memintas kenderaan tersebut dan kedua-dua suspek diberkas.

IPOH - Tindakan dua lelaki tempatan melarikan diri daripada pemeriksaan polis membawa padah apabila mereka berjaya ditahan di sekitar Bercham awal pagi Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, sepasukan anggota Unit Kereta Peronda (MPV) yang sedang menjalankan rondaan mengesan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan sebelum mengarahkan pemandunya berhenti.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, suspek bertindak melarikan diri sehingga mencetuskan situasi kejar-mengejar dengan pihak polis.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Muhammad Najib Hamzah berkata, ketika cuba meloloskan diri, suspek memandu secara berbahaya sebelum kenderaan dinaiki mereka melanggar sebatang tiang di tepi jalan.

Iklan

Menurutnya, dengan bantuan beberapa unit polis lain, kenderaan tersebut berjaya dipintas dan kedua-dua suspek diberkas.

“Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui sejumlah bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Iklan

Hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu menemui sejumlah bahan disyaki dadah jenis methamphetamine dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan mencuri kabel.

Beliau berkata, kedua-dua suspek yang berusia antara 18 hingga 30-an itu kini direman bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat di bawah peruntukan undang-undang berkaitan dadah serta kesalahan memiliki peralatan bagi tujuan melakukan jenayah.

"Oang ramai boleh terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti jenayah di kawasan masing-masing bagi membantu usaha pihak berkuasa membanteras jenayah," katanya.