IPOH - Isu penamatan perkhidmatan bas henti-henti laluan Kuala Kangsar-Lenggong-Gerik yang meresahkan penduduk sejak tiga hari lalu akhirnya berjaya diselesaikan hasil campur tangan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Keputusan itu dicapai susulan sesi perbincangan antara pihak syarikat pengendali dan Pejabat Menteri Besar Perak berhubung penamatan operasi laluan berkenaan yang sebelum ini menimbulkan kesukaran kepada penduduk setempat.
Pengurus Besar Perak Transit Berhad, Ismail Jamal berkata, perkhidmatan bas melibatkan laluan 99A, 99B, 99C dan 99D mula beroperasi semula hari ini (Jumaat).
“Keputusan ini dibuat setelah mengambil kira permintaan daripada Yang Amat Berhormat Menteri Besar Perak yang prihatin terhadap keperluan penduduk setempat yang amat bergantung kepada perkhidmatan bas bagi laluan tersebut sebagai pengangkutan harian,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun menurutnya, pengoperasian semula itu adalah bersifat sementara sehingga satu keputusan muktamad dicapai berhubung status kelulusan permohonan subsidi pengangkutan awam daripada kerajaan negeri dan Persekutuan.
Difahamkan, perbincangan tersebut turut menyentuh kebimbangan Saarani yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Tampan terhadap kesan penamatan perkhidmatan berkenaan kepada kehidupan harian rakyat, khususnya pelajar sekolah, warga emas serta penduduk di kawasan luar bandar yang bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan awam.
Sementara itu, penduduk, S Siva, 60, berkata, pengoperasian kembali perkhidmatan tersebut seperti biasa memberi kelegaan kepada masyarakat setempat yang sebelum ini berdepan kesukaran untuk bergerak.
“Kami lega apabila rintihan masyarakat diambil berat. Bas henti-henti ini memberi manfaat besar kepada golongan berpendapatan rendah dan mereka yang tinggal di kawasan kampung terpencil,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Noraini Hassan, 48, berharap perkhidmatan bas berkenaan dapat diteruskan secara kekal.
Katanya, pemberhentian perkhidmatan bas itu diakui memberi kesulitan kepada penduduk terutama bagi yang tiada kenderaan sendiri.
"Syukurlah perkara ini dapat diselesaikan segera. Terima kasih kepada Menteri Besar dan kerajaan negeri," katanya.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan penduduk di sekitar Lenggong merayu agar perkhidmatan bas henti-henti bagi laluan Kuala Kangsar–Lenggong–Gerik dikembalikan segera selepas ia ditamatkan sejak 1 April lepas.
Penamatan tersebut menjejaskan kehidupan harian pelbagai lapisan masyarakat terutama warga emas dan golongan berpendapatan rendah yang bergantung kepada pengangkutan awam untuk urusan bekerja, mendapatkan rawatan dan ke sekolah.
Perak Transit Berhad dalam maklum balas sebelum ini memaklumkan penamatan perkhidmatan laluan berkenaan berpunca daripada peningkatan kos operasi serta ketiadaan subsidi daripada kerajaan.
Perkhidmatan bas henti-henti bagi laluan tersebut mula diperkenalkan sejak tahun 2019 menerusi inisiatif pembiayaan swasta (PFI) dan sepanjang tempoh enam tahun beroperasi, laluan itu tidak menerima sebarang subsidi berbanding laluan lain yang masih beroperasi sehingga kini.