Varian Cicada Covid-19 merebak di AS, vaksin mungkin kurang berkesan

Iklan
Penyelidik memaklumkan varian Cicada membawa antara 70 hingga 75 mutasi baharu. Foto Agensi

WASHINGTON - Satu varian baharu Covid-19 yang dikenali sebagai Cicada dilaporkan sedang merebak di Amerika Syarikat (AS), dengan pakar memberi amaran keberkesanan vaksin sedia ada mungkin berkurangan terhadap strain tersebut, lapor The Week US.

Varian dikenali sebagai BA.3.2 itu telah dikesan di lebih 20 negeri di AS dan dipercayai mempunyai kadar mutasi tinggi, sekali gus menyukarkan sistem imun mengenal pasti virus berkenaan.

Iklan
Iklan

Menurut laporan, varian tersebut merupakan turunan kepada varian Covid-19 jenis Omicron yang mula muncul pada 2021.

Ia digelar Cicada kerana sifatnya yang muncul semula selepas tempoh tidak aktif sejak 2024, sama seperti serangga cicada (riang-riang) yang muncul secara berkala.

Iklan

Pakar perubatan menjelaskan, varian BA.3.2 mempunyai antara 70 hingga 75 perubahan genetik pada protein ‘spike’, iaitu bahagian virus yang membolehkannya memasuki sel manusia dan menjadi sasaran utama vaksin.

Keadaan itu menyebabkan vaksin sedia ada mungkin mengambil masa lebih lama untuk bertindak balas terhadap jangkitan.

Iklan

Dari segi gejala, varian ini menunjukkan simptom yang hampir sama dengan jangkitan Covid-19 lain dan penyakit pernafasan biasa seperti hidung berair atau tersumbat, demam, menggigil, sakit tekak, batuk serta dalam sesetengah kes loya dan muntah.

Pakar epidemiologi dari Amerika Syarikat berkata, persamaan gejala ini menyukarkan pengesanan sama ada seseorang dijangkiti Covid-19 atau penyakit lain seperti influenza dan RSV.

Walaupun varian itu sedang menular, setakat ini tiada bukti menunjukkan ia lebih teruk berbanding varian lain yang sedang beredar.

Namun, pakar memberi amaran bahawa kadar penularan sebenar masih belum dapat dipastikan dan berkemungkinan meningkat jika tidak dikawal.

Dalam pada itu, pakar kesihatan tetap mengesyorkan orang ramai mendapatkan vaksin kerana ia masih berkesan mengurangkan risiko kemasukan ke hospital dan kematian.

Orang ramai juga dinasihatkan menjalani ujian sekiranya bergejala, berehat di rumah sehingga pulih serta memakai pelitup muka berkualiti tinggi seperti N95 jika perlu berada di tempat awam.

Situasi berkenaan terus dipantau rapat oleh pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat bagi menilai tahap risiko dan langkah pencegahan yang sesuai. - Agensi