PENURUNAN harga emas dalam tempoh singkat sejak pertengahan Mac menimbulkan persoalan besar dalam kalangan pengguna dan pelabur kecil: adakah ini masa terbaik membeli atau sekadar permulaan kepada kejatuhan yang lebih teruk?
Dalam tempoh kurang dua minggu, harga emas 916 dilihat susut ketara, sekali gus mencetuskan reaksi berbeza antara peniaga dan orang ramai.
Bagi sebahagian pengguna, penurunan ini dianggap peluang keemasan untuk memiliki aset yang sebelum ini dilihat mahal.
Kedai emas kembali menerima kunjungan, terutama daripada pembeli kali pertama dan mereka yang menunggu harga 'turun sedikit'.
Fenomena ini memperlihatkan corak psikologi yang biasa dalam pasaran: apabila harga mula jatuh, permintaan tidak semestinya merosot, sebaliknya boleh meningkat kerana wujud persepsi harga sudah berada pada paras ‘murah’.
Namun persoalannya adakah harga semasa benar-benar murah atau masih berpotensi untuk terus menurun?
Dalam konteks pelaburan, emas sering dianggap aset selamat terutama ketika ketidaktentuan ekonomi global.
Tetapi hakikatnya, harga emas juga dipengaruhi pelbagai faktor termasuk kekuatan dolar Amerika Syarikat, kadar faedah serta sentimen pasaran antarabangsa.
Jika faktor-faktor ini terus berubah, tidak mustahil harga emas akan terus mengalami turun naik dalam jangka pendek.
Di sinilah wujud dilema bagi pembeli. Mereka yang membeli ketika harga sedang menurun mungkin berdepan risiko nilai aset susut dalam tempoh terdekat.
Walaupun emas lazimnya stabil dalam jangka panjang, pembelian tanpa strategi boleh menyebabkan kerugian, khususnya bagi mereka berharap keuntungan segera.
Dalam masa sama, peniaga emas pula melihat situasi ini dari sudut berbeza. Penurunan harga sering merancakkan jualan kerana ia menarik lebih ramai pelanggan.
Namun, margin keuntungan boleh terjejas jika harga terus tidak stabil. Ini memaksa peniaga lebih berhati-hati dalam menetapkan harga dan mengurus stok.
Apa yang lebih penting ialah pendekatan pengguna terhadap pembelian emas itu sendiri. Jika tujuan utama adalah simpanan jangka panjang atau kegunaan peribadi seperti barang kemas, turun naik harga dalam jangka pendek mungkin tidak memberi kesan besar.
Sebaliknya, jika pembelian dibuat atas dasar spekulasi atau mengikut emosi, risiko kerugian menjadi lebih tinggi.
Kesimpulannya, penurunan harga emas ketika ini boleh dilihat sebagai peluang, namun bukan tanpa risiko.
Ia bukan sekadar soal harga murah atau mahal, tetapi bagaimana pengguna menilai keperluan dan kemampuan masing-masing.
Dalam keadaan pasaran yang tidak menentu, sikap berhati-hati dan berinformasi menjadi kunci utama agar keputusan membeli emas tidak bertukar daripada peluang kepada perangkap.
Dalam perkembangan sama, trend pembelian secara ansuran dan skim mudah milik turut mempengaruhi corak permintaan emas dalam kalangan masyarakat.
Kemudahan ini dilihat membuka ruang kepada lebih ramai pengguna memiliki emas, namun pada masa sama meningkatkan risiko komitmen kewangan jika tidak diurus dengan bijak.
Tambahan pula terdapat juga kecenderungan segelintir pembeli membuat keputusan berdasarkan pengaruh media sosial atau saranan tidak sahih tanpa memahami risiko sebenar pasaran.
Justeru, literasi kewangan menjadi aspek penting yang perlu diperkasakan agar pengguna tidak hanya melihat emas sebagai simbol nilai, tetapi juga sebagai instrumen yang memerlukan perancangan teliti sebelum membuat sebarang keputusan pembelian.
*Adila Sharinni Wahid ialah wartawan Sinar Harian